fbpx

Lagi mangsa pelaburan tidak wujud, wanita rugi setengah juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

BATU PAHAT – Seorang wanita warga tempatan rugi setengah juta ringgit selepas terlibat dalam pelaburan tidak wujud yang disertainya akibat terpengaruh dengan iklan disiarkan dalam laman sesawang Facebook.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa berusia 54 tahun mula menyertai pelaburan itu pada Oktober 2023, dengan permulaan bayaran berjumlah RM314,000 dalam tiga akaun bank berbeza secara berperingkat.

Katanya, mangsa yang berurusan dengan seorang wanita dari negara China sebelum itu telah memberikan maklumat peribadi termasuk akaun bank miliknya untuk tujuan urusan pelaburan berkenaan.

“Kira-kira dua bulan selepas membuat pelaburan, mangsa mendapati ada keuntungan berjumlah RM2,036,252.29 namun perlu membayar sebanyak RM240,000 untuk mengeluarkan duit tersebut.

“Mangsa diberitahu bahawa wang keuntungan itu tidak boleh dikeluarkan sekiranya tidak membayar seperti diminta kerana keuntungan berkenaan terlibat dalam pengubahan wang haram,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Menurut Ismail lagi, melalui laporan yang dibuat semalam di Balai Polis Parit Raja itu, mangsa telah membayar wang diminta oleh wanita berkenaan bagi tujuan mendapatkan keuntungan yang dinyatakan.

“Bagaimana pun, sehingga waktu laporan dibuat, mangsa tidak menerima sebarang bayaran keuntungan selain wang deposit pelaburan serta cagaran dengan nilai keseluruhan sebanyak RM554,000 juga tidak dipulangkan semula.

Tambah Ismail lagi, pihak Polis sudah berulang kali mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya terhadap sebarang pelaburan yang memberikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat melalui aplikasi media sosial seperti ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI