fbpx

Banjir semakin pulih, mangsa berkurangan kepada 4,972

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA APM membantu memindahkan penduduk di Kampung Tenglu, Mersing, semalam.

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan penurunan kepada 4,972 mangsa daripada 1,387 keluarga yang berlindung di 34 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 10 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 5,005 mangsa daripada 1,396 keluarga di 35 PPS yang direkodkan di enam daerah pada pukul 8 malam tadi.

Katanya, keadaan banjir di Kota Tinggi semakin positif setelah jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 3,763 mangsa daripada 1,034 keluarga pada pagi ini.

“Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding 3,814 mangsa daripada 1,048 keluarga di 24 PPS yang direkodkan malam tadi.

“Keadaan banjir di Batu Pahat juga bertambah baik apabila jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 70 mangsa daripada 19 keluarga di satu PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri memberitahu, hanya mangsa banjir di Mersing yang meningkat daripada 598 mangsa membabitkan 181 keluarga kepada 620 mangsa melibatkan 187 keluarga.

Sementara itu katanya, jumlah mangsa banjir di Segamat, Kluang dan Johor Bahru tidak menunjukkan perubahan sejak malam tadi.

“Seramai 350 mangsa daripada 102 keluarga di Kluang, 89 mangsa daripada 26 keluarga di Segamat dan 80 mangsa daripada 19 keluarga di Johor Bahru.

“Tiga jalan di negeri ini iaitu Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi; Jalan Tanah Abang, Mersing dan Lingkaran Kahang Barat, Kluang terputus hubungan dan ditutup untuk semua kenderaan,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran buruk hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi sehingga esok.

“Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor, menunjukkan dua sungai di negeri ini berada di paras bahaya iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dan Sungai Linggiu di Kota Tinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI