fbpx

Tumbuk warga emas, saksi diminta tampil buat laporan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar perkongsian PDRM berkenaan kekecohan yang berlaku selepas kemalangan di persimpangan lampu isyarat Pelangi Semenyih 2, semalam.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta individu yang terlibat dengan kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Pelangi Semenyih 2, semalam agar tampil membuat laporan dengan segera.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kemalangan berpunca daripada kenderaan jenis Proton Saga yang mengalami kegagalan brek sebelum melanggar sebuah bas sekolah dan sebuah lagi kenderaan lain.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, seorang pelajar sekolah mengalami cedera ringan dan kenderaan lain yang terlibat mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Zaid berkata, kemalangan tersebut menyebabkan satu video berdurasi 39 saat tular di media sosial yang menunjukkan berlaku kekecohan di lokasi kemalangan.

“Setakat ini pihak IPD Kajang tidak menerima sebarang laporan polis berhubung dengan kejadian kekecohan yang tular di laman sosial.

“Pihak polis menasihatkan individu yang terlibat untuk membuat laporan. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menyebabkan berlaku kesalahan jenayah seperti memukul,” katanya.

Tambah beliau, kes kemalangan trafik tersebut disiasat di bawah Rule 17 LN 167/59.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi balai polis yang berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Narol di talian 0195897115 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan, sebuah video pendek berdurasi 39 saat tular di aplikasi X memaparkan seorang lelaki warga emas dikasari orang awam.

Dalam video sama, warga emas tersebut telah ditumbuk oleh beberapa orang lelaki kerana dipercayai terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang pelajar sekolah mengalami kecederaan ringan.

Video tersebut telah mendatangkan kemarahan orang ramai yang rata-ratanya bersimpati terhadap warga emas tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI