fbpx

Selepas Bezza, wanita tuntut keadilan untuk HRV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noriya (dua kanan) bergambar bersama Honda HRV yang baru dibeli pada 26 Ogos tahun lalu.

PETALING JAYA – Jika sebelum ini pemilik Perodua Bezza berjaya menuntut keadilan, kini seorang wanita tampil meluahkan rasa kecewa apabila kereta Honda HRV yang baru dimilikinya rosak selepas dua minggu.

Wanita yang dikenali sebagai Noriya Mamat terpanggil untuk berkongsi mengenai kisah kenderaan barunya itu berikutan kejadian membabitkan Perodua Bezza baru-baru ini.

Katanya, kereta yang diterimanya pada 26 Ogos 2023 mula mengalami masalah selepas dihantar ke Pusat Servis Gong Badak, Terengganu pada 2 September tahun lalu.

Menurut Noriya, situasi dialami olehnya lebih parah apabila Pusat Servis Honda memberikan alasan bahawa mereka tidak dapat mengesan punca masalah kereta.

“Selepas dua hari dari pusat servis, kereta alami beberapa kerosakan iaitu lampu depan tidak boleh dilaras, lampu penunjuk pada ‘dashboard’ (papan pemuka) berkelip-kelip dan lampu kecemasan menyala.

“Kereta dihantar semula ke pusat servis selama seminggu. Saya terpaksa berulang-alik ke pusat servis dalam keadaan saya sarat mengandung.

“Apa yg saya sedih sangat, selepas bersalin, kereta saya masih belum pulih dan alasan pusat servis, tidak dapat mengesan punca masalah kereta,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Sementara itu, Noriya berkata, dia hanya diberikan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang didakwa uzur sebelum digantikan dengan Honda City untuk berulang-alik ke klinik dan hospital.

Justeru, tambah Noriya, dia dimaklumkan bahawa masalah Honda HRV miliknya tidak dapat diselesaikan meskipun sudah empat bulan berada di pusat servis.

“Pada 10 Januari lepas, saya dihubungi oleh Ibu Pejabat Honda. Mereka maklumkan kereta akan dibawa ke Kuala Lumpur selama sebulan untuk mencari penyelesaian.

“Apa yang saya mahukan adalah keadilan untuk saya. Setiap bulan saya perlu membayar RM1,500 untuk kereta yang tidak saya gunakan. Mengapa pihak Honda mengambil masa yang lama untuk kes seperti ini,” ujar Noriya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI