HANTARAN tular seorang pemilik akaun TikTok baru-baru ini yang berkongsi pengalamannya mengunjungi sebuah restoran di Pulau Pangkor mencetuskan reaksi daripada pihak berkuasa.
Berdasarkan perkongsian itu, dinyatakan bahawa sebuah restoran yang menjual makanan tanpa mengikut garis panduan sepatutnya telah mempamerkan harga makanan dan menjualnya dengan harga ‘cekik darah’.
Kesan daripada hantaran di media sosial itu akhirnya menyebabkan restoran berkenaan dikenakan tindakan undang-undang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).
Rata-rata orang ramai menyifatkan tindakan peniaga terbabit sebagai tidak bertanggungjawab, bahkan mencemarkan nama baik Pulau Pangkor yang saban tahun dikunjungi oleh ribuan pelancong ke salah satu destinasi popular di Perak berkenaan.
Bahkan, sifat tamak pengusaha premis yang menjual makanan laut tersebut secara tidak langsung memberi kesan terhadap peniaga lain yang berniaga secara jujur di pulau berkenaan.
Tindak balas KPDN dan pihak lain yang terlibat seperti Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagaimanapun wajar diberikan pujian kerana pantas dan cekap menangani isu tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee turut mengulas isu berkenaan dalam satu majlis di Taiping kelmarin apabila ditanyakan pemberita mengenai impak insiden tersebut terhadap Tahun Melawat Perak 2024.
Beliau berkata, isu berkenaan diberikan perhatian sewajarnya oleh Kerajaan Negeri Perak dan memberi jaminan sebarang insiden serupa pada masa akan datang akan terus ditangani agar hak-hak pelancong dijamin dan dibela.
Katanya, ini kerana Perak merupakan salah sebuah negeri di negara ini yang popular sebagai destinasi pelancongan menarik serta diakui kos melancong di negeri ini termasuklah kos makanannya yang dianggap murah.
“Kerajaan negeri akan berusaha keras untuk pastikan semua adalah di bawah kawalan dan melaksanakan penguatkuasaan sekiranya perlu untuk menjaga kepentingan pelancong,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, Perak tidak mempunyai masalah peniaga mengambil kesempatan terhadap pelancong dan kejadian yang berlaku di Pulau Pangkor tersebut hanya dilakukan oleh segelintir kecil peniaga.
“Contohnya di Taiping, makan di mana-mana pun sedap dan murah tetapi kadang-kadang akan terjumpa seorang dua (peniaga) nak buat untung cepat. Ia tak melambangkan keseluruhan Taiping, begitu juga dengan Pulau Pangkor,” katanya.
Disebabkan itu, Sze Yee berkata, secara umumnya tiada masalah sedemikian di negeri ini dan jika berlaku sekali pun, kerajaan negeri menerusi agensi penguatkuasaan undang-undang akan mengambil tindakan sewajarnya.
Beliau menegaskan, ia bagi memastikan keadaan adalah dalam kawalan agar kepentingan pelancong terjaga serta tiada pihak cuba mengaut keuntungan dengan cara tidak sepatutnya.














