fbpx

Anwar solat Jumaat bersama 1,000 jemaah di Masjid Al-Hijrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika menaiki kenderaan selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hijrah, Desa Pinggiran Putra hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hijrah, Desa Pinggiran Putra, di sini.

Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan kira-kira pukul 1.25 tengah hari itu disambut ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Anwar bersama jemaah kemudian mendengar khutbah bertajuk ‘Binalah Kasih Sayang Dengan Ukhuwah’ yang disampaikan oleh Imam 1 Masjid Al-Hijrah Dr Mohd Hafizi Sulaiman.

Isi khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor itu antara lain mengajak umat Islam untuk kekal bersatu dan bersaudara walaupun wujud perbezaan pandangan dalam pelbagai isu kerana ikatan jalinan ukhwah (persaudaraan) mampu melahirkan rasa kasih sesama muslim.

Umat Islam khususnya golongan pemimpin turut diseru agar sentiasa mengukuhkan perpaduan dan menghindari api permusuhan.

“Umat Islam hendaklah bersikap ramah terhadap orang lain dengan membiasakan diri mengucap dan menjawab salam, sentiasa bertegur-sapa dan bertanya khabar sesama kita agar ikatan ukhuwah sentiasa terjalin dan berterusan.

“Umat Islam juga hendaklah berlapang dada untuk sentiasa memaafkan saudara se-Islam kita yang lain yang merupakan tuntutan dalam Islam,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,000 jemaah bersama Anwar menunaikan solat Jumaat yang diimamkan oleh Mohd Hafizi.

Anwar sebelum itu sempat menjamu selera di Restoran dan Katering Ar Arham di Desa Pinggiran Putra, di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI