Orang ramai menikmati keindahan motif seni pua kumbu dan batik Borneo menerusi ruangan interaktif.

Terokai tekstil warisan dengan teknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK usia lapan tahun, wanita itu sudah jatuh cinta dan mempelajari seni kerja manik (beadwork) suku kaum Bidayuh daripada nenek dan ibunya.

Tidak hanya itu, dia turut belajar tentang seni manik bagi penghasilan aksesori pakaian semasa di sekolah.

Kerana minat mendalam, usahawan aksesori manik tradisional Sarawak, Lucille anak Awen Jo, 39, meninggalkan pekerjaan profesionalnya di ibu kota dan kembali ke kampung halaman untuk mengangkat martabat seni kraf manik supaya tidak ditelan zaman.

“Seni manik merupakan antara identiti suku kaum masyarakat di Borneo yang mempunyai pelbagai kisah dan cerita tersendiri di sebalik setiap hasil tangannya.

“Sejak kecil, saya sudah belajar seni ini dan menghargainya kerana ia adalah sebahagian daripada sejarah dan keistimewaan setiap suku kaum khususnya di Sarawak, namun semakin kurang diamalkan terutama oleh generasi muda,” katanya kepada K2.

Tambahnya yang berasal dari Kampung Sibuluh, Bau, Sarawak, melihat betapa pentingnya usaha meneruskan legasi seni kerja manik, dia menubuhkan jenamanya sendiri selain mengasaskan satu organisasi perusahaan sosial, Pungu Borneo bagi memperkasa usahawan dan artis kraf manik di kampung halamannya.

Kongsinya lagi, usaha yang dilakukan itu juga telah menghubungkannya dengan satu platform yang memfokus kepada kelestarian warisan tekstil Malaysia iaitu program Immersive Knowledge and Textile (IKAT).

Katanya yang memulakan usaha keusahawanan sosial sejak tahun 2017, IKAT membawa pendekatan berbeza dalam mendukung seni warisan kraf dan tekstil dengan pendekatan menarik minat golongan muda.

“Dalam langkah memperkasa artis manik, saya banyak melakukan kolaborasi dengan pelbagai pihak untuk membawa hasil kraf komuniti ke pasaran yang lebih besar, selain menarik minat generasi muda untuk meneruskan legasi ini pada masa akan datang.

“Program interaktif IKAT dilihat membawa pendekatan unik apabila menggabungkan teknologi serta media baharu sebagai medium untuk menarik minat terutama generasi muda,” ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

IKAT merupakan pop-up hub yang diwujudkan untuk menawarkan kepada orang ramai program pengalaman (experiental) yang menyatupadukan tekstil warisan dengan pengalaman interaktif dalam usaha mewarnai industri menerusi teknologi.

Diterajui oleh organisasi studio kreatif dan pakar realiti maya, Experiental Design Team (EDT) bersama Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional Behad, IKAT bukan sekadar menggabungkan teknologi dan tekstil tetapi turut mengangkat pelbagai seni lain berkait motif dan kraf tangan.

IKAT mengetengahkan tekstil warisan daripada beberapa suku kaum dan budaya antaranya Borneo, Baba Nyonya dan Melayu.

JACQUELINE (dua dari kanan) bersama Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari (empat dari kanan), penggerak IKAT dan artis seni bergambar kenangan.

Untuk bahagian pertama yang berlangsung pada 6 dan 7 Januari lalu di The Godown Art Center, Kuala Lumpur, seni tekstil dan kraf tangan dari Borneo menjadi tumpuan utama.

Menurut Koordinator Program IKAT, Mahesh Naiker, tekstil dan kraf tangan menjadi tumpuan untuk IKAT kerana ia adalah produk identiti masyarakat dan pada masa sama merupakan harta yang tiada pada orang lain.

“Disebabkan generasi muda gemarkan teknologi media baharu, kita gabungkan keduanya untuk menarik dan memupuk minat mereka.

“Dalam IKAT, medium utama untuk tarikan adalah ruang interaktif yang mana paparan projektor maya bakal memaparkan video motif-motif tradisonal dalam satu ruangan dan video ini juga membawakan satu cerita tentang asal-usul seni itu sendiri secara tidak langsung,” kongsinya.

Katanya lagi, pengunjung yang masuk dalam ruangan ini akan merasai interaksi apabila setiap pancaran video di setiap sudut mempunyai reaksi berbeza apabila disentuh.

Selain membawakan ruang interaktif, pendekatan teknologi turut digunakan dalam aspek platform digital yang mana IKAT turut membantu artis-artis seni tradisional untuk mempromosikan portfolio mereka sekali gus memberi ruang pasaran buat mereka.

“Teknologi dalam IKAT bukan sekadar memberi pengalaman kepada pengunjung tetapi turut membuka ruang untuk artis seni yang terlibat memperkenalkan produk mereka dan kami menggabungkan semua itu sebagai langkah berterusan buat program ini.

“Pada masa sama, kita turut mengadakan pelbagai aktiviti lain seperti bengkel seni, program bual bicara dan juga pertunjukan fesyen bagi mengembangkan lagi minat yang telah dicetuskan menerusi teknologi,” jelasnya.

IKAT juga mengetengahkan konsep pertukaran budaya yang mana untuk penganjuran kali ini terdapat beberapa siri yang akan berlangsung sepanjang tahun.

Selepas ini program pop-up hub yang bersifat jelajah ini dijangka dibuat di tiga lokasi lain dengan mengetengahkan seni-seni berbeza.

Menurut Kurator IKAT, Jacqueline Fong, bagi siri di Kuala Lumpur, seni Borneo diketengahkan sebagai perkongsian buat masyarakat setempat untuk lebih mengenali hasil seni masyarakat di sana.

Bagi siri ini juga, tiga seni yang menjadi sorotan adalah tenun pua kumbu, seni kerja manik dan sulaman kain pis.

“Ketiga-tiga seni ini dibawa kerana ia mempunyai inspirasi yang sama iaitu flora dan fauna serta alam sekitar di Borneo.

“Tema ini adalah kelangsungan daripada konsep penceritaan di dalam ruang interaktif yang mana selepas pengunjung keluar, mereka akan lebih memahami setiap seni dan motif yang diketengahkan pada setiap produk kraf tangan,” katanya.

Tambahnya, berkongsi tentang hubung kait ruang interaktif dan aktiviti di IKAT, dalam ruang interaktif itu, arus air sungai menjadi antara elemen yang dipaparkan dan ia berkait dengan motif pua kumbu yang diinspirasikan daripada aliran sungai di Sarawak.

Begitu juga paparan corak pada dinding ruangan yang mana ia juga merupakan motif yang signifikan dengan tekstil Borneo seperti batik Borneo yang diilhamkan daripada keindahan pokok-pokok di hutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN