fbpx

Pemandu lori nafi miliki 1,511 liter diesel tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH menutup mukanya selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. - foto SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 1,511 liter tanpa lesen yang sah.

Orang Kena Saman (OKS), Ng Chee Kiang, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dalam kawalan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 1,511 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah dan telah melakukan kesalahan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang di premis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Karung Berkunci 1022 dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Ogos 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhana Mohd. dan Syafiq Mahadi bersama Pegawai Pendakwaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Hysam Mohd. Noor mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan iti dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 7 Februari depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI