fbpx

‘Kami dijemput, bukan ceroboh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Suffi (dua kiri) dan Nadzir (tiga kiri) selepas laporan polis di IPD Shah Alam hari ini. -Foto SADDAM YUSOFF

SHAH ALAM – Tiada pencerobohan ke kediaman rasmi Menteri Besar (MB) Selangor sebaliknya telah menerima jemputan sebagai kapasiti Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengenai isu penduduk Kampung Sungai Sireh berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengamal media, Mohamad Suffi Kamari, 35, berkata, dia bersama dua rakannya telah diminta oleh Mohd. Zai Mustafa selaku wakil jawatankausa daripada Gerakan Pertubuhan Ummah (Ummah) untuk hadir di dalam pertemuan dengan MB Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu.

Katanya, pemakluman juga telah dibuat kepada pegawai bertugas di pagar masuk kediaman rasmi MB Selangor bagi menghadiri pertemuan tersebut.

“Selepas dibenarkan masuk, saya juga sempat berada bersama MB dan penduduk Kampung Sungai Sireh. Malah, saya juga bersalaman dengan MB Selangor yang sedang mengetuai mesyuarat tersebut.

“Tiada sebarang provokasi sepanjang pertemuan tersebut. Sewaktu ditengah mesyuarat, saya telah dipanggil keluar oleh pegawai MB Selangor yang kemudiannya menuduh bahawa menceroboh premis kediaman itu tanpa kebenaran sebelum ditangkap dan direman dua hari bagi siasatan kes,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Justeru, Mohamad Suffi menafikan fakta terkandung dalam laporan polis adalah palsu dan tidak menggambarkan kejadian sebenar.

“Berhubung tindakan terhadap mereka yang memviralkan isu tangkapan itu, saya menyerahkan kepada pihak peguam untuk tindakan selanjut. Sudah tentu, saya kesal dengan laporan tiktokers dan faham apabila mendapat ‘lauk’ (bahan berita) itu akan berhabis-habisan (memviralkannya),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Harakah, Nadzir Helmi menegadkan, laporan balas dibuat hari ini oleh tiga kakitangannya sebagai tindakan undang-undang untuk mempertahankan kebenaran dan cerita sebenar.

“Wajah mereka telah diviralkan di platform media sosial secara tidak bertanggungjawab dengan cerita dan gambaran tidak tepat sekali sehingga menjatuhkan air muka dan maruah mereka.

“Harakah sebagai akhbar sendiri telah cuba dipalitkan dengan kisah tidak tepat tersebut disyaki atas niat untuk merosakan imej syarikat ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim mengesahkan telah menerima laporan daripada pengamal media itu.

“Report ada terima dan lebih kepada penafian. Kita telah melengkapkan kertas siasatan dan serah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut pada petang ini,” katanya,

Dalam pada itu, Peguam Nazrul Nazir menjelaskan pihaknya belum dimaklumkan berhubung siasatan termasuk sama ada anak guam mereka akan dituduh atau sebaliknya.

“Kita tunggu, sebab setakat ini mereka (tiga pengamal media) itu baharu sahaja keluar daripada reman. Kalau dikatakan ada pendakwaan, maka kita akan pertahankan apa yang disebut Mohamad Suffi dan dua yang lain di mahkamah nanti,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan tiga pengamal media dicekup selepas menceroboh kediaman rasmi MB Selangor di Seksyen 7 di sini, Jumaat lalu. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI