TAPAH – Seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah syarikat pembinaan bertaraf G7 sanggup meninggalkan kerjaya itu demi menceburi bidang penternakan di tanah seluas 1.5 ekar di Changkat Petai Hilir, Tapah Road di sini.
Zamri Mohd. Ramli, 56, yang mempunyai kelulusan peringkat sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan berkata, pendapatannya sebagai COO dahulu agak lumayan iaitu kira-kira RM20,000.
“Asalnya, saya mengambil keputusan berhenti kerja dan pulang ke kampung (Changkat Petai Hilir) kerana ingin berbakti menjaga arwah ayah, Mohd. Ramli Musa pada 2018 kerana barah prostat, namun arwah meninggal kira-kira dua tahun kemudian.
“Arwah ayah memang telah mula menceburi bidang penternakan selepas pencen dengan menternak lembu, kambing dan ayam kampung secara sara diri, jadi saya komersialkannya pada skala lebih besar,” katanya.
Di ladang, Zamri sekarang telah menternak angsa, ayam kampung, ayam mutiara, ayam belanda dan puyuh .
“Saya banyak mendapat tunjuk ajar dan bantuan berbentuk mesin inkubator daripada Jabatan Veterinar Perak dan Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Daerah Batang Padang/Hilir Perak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Zamri menjual haiwan ternakannya bermula dari telur, anak, daging segar, beku dan perap. Lebih unik binaan rebannya agak kreatif kerana boleh diubah suai menjadi rumah sewa pada masa depan.
Kini dia boleh tersenyum bangga kerana pendapatan bersih setiap bulan ialah sekitar RM4,000 hingga RM5,000.
“Memang pendapatan ini agak kecil berbanding kerja saya dahulu, namun ibarat duit pencenlah kerana komitmen utama seperti rumah, kereta dan kad kredit telah habis bayar.
“Empat anak saya telah bekerja, hanya tinggal seorang sahaja yang bongsu masih belajar di universiti di sebuah universiti di Amerika Syarikat. Selain itu, kami dapat berjimat kerana haiwan ternakan boleh dimakan sendiri bersama keluarga tanpa perlu dibeli,” katanya.














