fbpx

Penyewa duduk percuma 4 tahun, biar bil tertunggak RM21,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar bil elektrik mencecah RM21,000 yang dikongsikan oleh Rubi di laman Facebooknya, semalam.

PETALING JAYA – Sudahlah menyewa secara percuma selama empat tahun, bil elektrik pula dibiarkan tertunggak sehingga RM21,000.

Begitulah perkongsian seorang perunding hartanah, Rubi Hasman di laman Facebook, berkenaan sikap tidak bertanggungjawab penyewa sebuah rumah yang bakal dilelong.

“Ini adalah kisah benar. Sebelum kami buat pembidaan, kami akan pergi tengok kondisi rumah yang bakal dilelong.

“Masa pusing rumah tersebut, kami nampak masih ada orang duduk di situ,” katanya.

Menurut Rubi, selepas bercakap dengan penyewa rumah tersebut, mereka mendapati dia telah duduk di situ selama empat tahun secara percuma setelah pemilik menghilangkan diri.

“Penyewa sedia maklum rumah tersebut akan dilelong. Selepas sudah menang bidaan, kami datang berjumpa semula dengan penyewa tersebut untuk berbincang beberapa perkara.

“Hasil perbincangan, penyewa bersetuju untuk berpindah keluar dalam masa dua bulan,” jelasnya.

Rubi berkata, sebelum pihaknya mula membida satu-satu rumah lelong, mereka akan periksa dahulu semua bil yang tertunggak.

“Sebenarnya kami sudah tahu tentang tunggakan tersebut. Sebelum bida, mesti dah periksa semua bil.

“Tetapi pada waktu itu, kami sengaja buat-buat terkejut dan beritahu penyewa. Agak-agaknya, apa respon dia?,” kata Rubi.

Menurut Rubi, tunggakan tersebut berlaku kerana penyewa sentiasa mengunci pagar rumah apabila pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) datang untuk memotong bekalan elektrik.

“Mereka (pihak TNB) tidak ada hak untuk menceroboh rumah tanpa kebenaran daripada pemilik berdaftar.

“Mereka sudah cuba telefon pemilik tetapi tidak pernah berangkat,” jelasnya.

Bagi mengelakkan masalah sama daripada berlaku, Rubi menasihatkan pemilik rumah agak sentiasa semak penggunaan dan bayaran bil penyewa.

“Entah apalah yang dibuatnya. Sudahlah duduk secara percuma, lepas itu, tinggalkan bil elektrik yang tinggi atas nama pemilik.

“Mujurlah TNB boleh gugurkan hutang tersebut sekiranya rumah dilelong. Kalau tidak, menderita jugalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI