fbpx

MBI bersihkan lebih 90 peratus lokasi pembuangan sampah haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MBI berjaya membersihkan sehingga 90 peratus lokasi pembuangan sampah haram di Ipoh. - Foto IHSAN MBI

IPOH – Kira-kira 90 peratus daripada 470 lokasi pembuangan sampah haram di bandar raya ini berjaya dibersihkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), dari 1 Januari hingga 31 Disember 2023.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pencapaian tersebut adalah satu perkembangan baik dalam merealisasikan matlamat MBI untuk menjadikan Ipoh bandar raya terbersih.

“MBI telah menjalankan pelbagai program dan usaha bagi menangani isu pembuangan sampah haram itu. Untuk makluman, kami mula memperkenalkan perkhidmatan kutipan sampah kebun dan pukal secara percuma mulai 2021.

“Sebanyak 17 lori terbuka dibeli untuk menjayakan perkhidmatan tersebut agar ia berjalan dengan lancar dan tersusun mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Selain itu, Rumaizi berkata, MBI turut mengadakan program pengedaran tong sampah percuma kepada penduduk di bandar raya Ipoh.

Katanya, sehingga Disember lalu, sebanyak 84,547 unit tong diedarkan setiap hujung minggu mengikut giliran zon ahli majlis sejak program ini mula diperkenalkan pada 2021.

“Sebanyak 1,670 papan tanda larangan membuang sampah juga dipasang di lokasi-lokasi ‘hotspot’ pembuangan sampah haram sejak 2021 sehingga 31 Disember lalu.

“Operasi Unit Anti-Litter yang lebih tegas dan kerap berjaya mengawal pembuangan sampah haram dengan mengeluarkan 1,214 kompaun bernilai RM498,750 setakat Disember lalu. Daripada jumlah itu sebanyak 245 kompaun bernilai RM117,095 telah dibayar,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan pusat pengumpulan sampah domestik di kawasan kampung turut menyumbang kepada pengurangan lokasi ‘hotspot’ sampah haram.

Setakat ini, menurut beliau, sebanyak 13 pusat pengumpulan telah dibina oleh pihaknya dan kutipan sampah dijalankan pada setiap hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI