Orang kata, ada apa pada ranking? Nah, empat bulan pertama 2024 bakal menjadi tempoh singkat paling ‘kritikal’ dan mencemaskan apabila setiap pemain badminton dari semua negara dijangka bekerja keras bagi mempertahan atau memintas ranking untuk meraih tiket ke Olimpik.
Hanya empat bulan masing-masing ada bermula dengan Terbuka Malaysia yang bakal membuka tirai musim 2024 tiga hari lagi. Sedikit saja ketidakkonsistenan dan kecederaan merisikokan berputih mata ke Olimpik yang pengiraan matanya berakhir 28 April ini.
Tidak guna hebat mana tumbangkan lawan ranking lebih tinggi dalam sesuatu perlawanan, kalau akhirnya gagal menghuni kedudukan ranking Race to Paris yang memadai pada tanggal 28 April 2024, tarikh akhir pengiraan mata ke Olimpik.
Masing-masing cuma ada peluang 12 kejohanan untuk buru mata sebelum penentuan mara ke Paris dimuktamadkan pada hujung April sebelum Olimpik dijadualkan 27 Julai ini.
Malaysia ibarat menerima penghormatan apabila kalendar badminton 2024 dimulakan dengan Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung Selasa ini.
Para pemain tanah air seharusnya memanfaatkan kejohanan berstatus Super 1000, Terbuka Malaysia yang kejuaraannya pasti paling menjadi rebutan kerana menawarkan mata tertinggi dalam empat bulan ini selain All England (12 Mac).
Turut tersenarai dalam jadual genting ini ialah Terbuka India (16 Januari), Indonesia Masters (23 Januari), Thailand Masters (30 Januari), Terbuka Jerman (27 Februari), Terbuka Perancis (5 Mac), Orlean Masters (12 Mac), Terbuka Switzerland (19 Mac), China Masters (19 Mac), Sepanyol Masters (26 Mac) dan diakhiri Badminton Asia Championship (9 hingga 14 April).
Pemain perlu berada dalam kalangan top 16 ranking Race to Paris untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia. Perlu diingatkan, ranking Race to Paris berbeza dengan ranking dunia.
Untuk mempunyai dua wakil negara di Olimpik bagi acara perseorangan, dua pemain perlu berada dalam top 16, manakala untuk dua wakil beregu negara, para pemain perlu berada dalam top 8.
Malaysia berpeluang mencipta sejarah mempunyai dua wakil perseorangan lelaki di Olimpik apabila Lee Zii Jia kini menghuni ranking ke-11 Race to Paris dan Ng Tze Yong (ke-13) jika berjaya mempertahan atau memperbaiki kedudukan dalam tempoh empat bulan.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat agak selesa apabila menduduki ranking ke-4 bagi beregu lelaki. Malaysia berpeluang memiliki dua wakil beregu lelaki dan persaingan sengit untuk memburu top 8 dijangka melibatkan gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (ke-11), Chong Wei Man-Tee Kai Wun (ke-16) selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin walaupun kini ke-19.
Beregu wanita, Pearly Tan-Thinaah yang kerap dibelenggu kecederaan tahun lalu masih berpeluang apabila menghuni ranking ke-12, namun perlu terus mengejar lebih mata.
Beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berada di ranking ke-9 tetapi belum cukup selesa.















