fbpx
GAMBAR HIASAN

Isteri bukan amah, bantu buat kerja rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

POLEMIK mengenai peranan suami dan isteri dalam rumah tangga tidak akan pernah habis.

Tanpa mengira status ekonomi, latar belakang keluarga, gaya hidup mahupun individu yang masih bujang, setiap orang mempunyai pandangan berbeza terhadap peranan suami isteri.

Bagi yang berfikiran terbuka, tugas memasak, membersihkan rumah, membasuh baju atau mengemas dianggap bukan ‘kerja hakiki’ isteri, sebaliknya tanggungjawab suami.

Namun, bagi yang berpendapat bahawa tugas isteri adalah untuk berada di dapur, mengemas rumah, memastikan kediaman sentiasa dalam keadaan teratur serta menyiapkan segala makan dan pakai suami, mereka mungkin digelar berfikiran kolot oleh sesetengah orang.

Atas sebab itu, muncullah video-video tular di media sosial atau luahan hati si isteri, suami, mahupun mentua mengenai wanita yang tidak pandai menyiang ikan, tidak pandai memasak, rumah bersepah atau suami makan di kedai.

Dalam masa sama, ada juga segelintir individu yang tidak mahu mengaku kalah dengan mengemukakan hujah-hujah mengenai peranan-peranan suami terutamanya dari segi wang ringgit.

Terlalu berpegang kepada prinsip ‘duit saya duit saya, duit awak duit saya’ turut membuatkan para isteri di luar sana enggan langsung membantu suami yang hanya bergaji cukup-cukup untuk membayar komitmen bulanan. Sedangkan mereka yang turut sama bekerja, seronok membeli-belah, juga dengan duit tambahan daripada suami.

Menurut Pakar Psikologi Universiti SEGi, Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor, pekerjaan seperti memasak dan mengemas rumah dilakukan dengan kerelaan.

“Namun, masalah timbul apabila ada suami harap isteri membuat semua kerja rumah.

“Suami sepatutnya membantu dan saling bekerjasama. Contohnya, suami mengemop rumah, isteri menyapu rumah.

“Jika adanya persefahaman seperti ini, pasti tidak akan timbul mengenai isu isteri dijadikan seperti pembantu rumah seperti yang kita sering baca di media sosial,” ujarnya.

Tambah Mariani, jika si isteri ialah suri rumah sepenuh masa, suami perlu menganggap seolah-olah pejabat isteri berada di rumah dan kerja hakikinya tidak akan habis.

“Suami mempunyai waktu bekerja, misalnya dari pukul 8 pagi hingga 6 petang. Namun, isteri bekerja tanpa henti di rumah tanpa gaji penuh yang dibayar. Jika suami mempunyai ekonomi yang kukuh, mungkin dia boleh memberi nafkah yang lebih kepada isteri sebagai tanda menghargai penat lelahnya,” ujarnya.

Sementara itu, Mariani berkata, dari segi wang belanja, rumah tangga yang harmoni dipikul oleh suami isteri yang saling bekerjasama untuk mengukuhkan ekonomi mereka.

“Nafkah untuk isteri adalah tanggungjawab suami dan kewajipan suami. Namun, jika keadaan ekonomi suami tidak berapa kukuh, isteri boleh membantu meringankan bebannya,” jelasnya.

Berkahwin bukan sekadar untuk menguar-uarkan kepada orang ramai bahawa kita sudah berpunya atau perasaan ingin dimiliki.

Ia sebaliknya merupakan tanggungjawab besar yang dihiasi dengan rasa tolak ansur, kerjasama, saling percaya, kasih sayang dan saling memahami.

Suami bukanlah jurubank dan isteri bukanlah pembantu rumah. Sebaliknya, kedua-dua mereka ada tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Anggaplah kehidupan berumah tangga sebagai ujian untuk mencapai petunjuk prestasi utama akhirat.

Apa yang kita lakukan, pasti akan ditanya sama ada mendapat ganjaran atau akibatnya di ‘sana’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN