fbpx

Orang awam jangan campur urusan ulama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GARA-GARA politik, segelintir masyarakat di Malaysia khususnya yang beragama Islam sanggup bertindak luar batas sehingga menghina dan memperlekehkan agamawan atau ulama.

Tindakan berleluasa itu yang dibuat dengan melemparkan kata-kata kurang sopan serta makian dan fitnah kepada golongan berkenaan semakin banyak dilihat di media sosial.

Lebih parah, segelintir individu juga berani melaga-lagakan tokoh agama dengan sengaja demi mewujudkan sensasi dan perpecahan dalam masyarakat.

Seperti baru-baru ini, isu seorang doktor perubatan Terengganu yang membuat hantaran jelik mengenai agamawan di negeri itu membawa padah apabila klinik miliknya diboikot.

Hantaran yang dibuat menerusi Facebook dan aplikasi X yang mendakwa agamawan tersebut tidak memiliki tauliah mengajar dipercayai didorong oleh provokasi politik sehingga mempengaruhi tindakannya.

Bagaimanapun, bagi meneruskan kelangsungan kliniknya, dia tampil membuat permohonan maaf serta bertemu dengan wakil individu berkenaan untuk menjernihkan keadaan.

Menurut Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, tindakan mengecam ulama dalam media sosial adalah tidak wajar memandangkan golongan tersebut berada di tempat yang mulia di sisi Allah SWT.

“Kita semua wajar memuliakan mereka (ulama) kerana mereka diletakkan di tempat tinggi di sisi Allah SWT.

“Mungkin ini dikaitkan dengan akhir zaman dan kiamat kecil seperti disebut oleh Rasulullah SAW apabila golongan mulia ini dihina dan direndahkan,” katanya.

Beliau berkata, ulama merupakan pemimpin agama yang memastikan umat Islam tidak tergelincir daripada landasan dengan menyampaikan ilmu agama untuk diikuti semua.

“Jika masyarakat memahami kedudukan para alim ulama dan peranan mereka memimpin masyarakat, nescaya mereka tidak akan melakukan perkara yang melampaui batas.

“Mereka harus sedar dan hormati kehadiran golongan agama ini adalah untuk membimbing mereka. Kalau tidak kerana jasa ulama tiada beza antara manusia dan haiwan,” ujarnya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga pernah mengingatkan seluruh rakyat agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.

Al-Sultan Abdullah bertitah, semangat penuh toleransi rakyat Malaysia dalam kemajmukan merupakan asas kekuatan utama bagi membina sebuah negara yang bermaruah.

Merujuk kepada Siyar al-Dzahabi, Imam Abdullah Ibn al-Mubarak Rahimullah berkata, sesiapa yang merendah-rendahkan para ulama, maka nantikanlah bahawa akhiratnya akan binasa.

Justeru, janganlah kita menghina ulama tanpa sebab munasabah dan bertaubatlah sekiranya pernah berbuat demikian kereta dikhuatiri tidak mendapatan keberkatan hidup.

Bezakan perbuatan mengkritik dan menghina selain tetap mendoakan kebaikan para ulama serta asatizah sekali gus mengangkat darjat agama Islam di tempat yang sepatutnya ia berada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN