TAPAH – Maahad Tahfiz al-Quran Al-Ahmad, Kampung Kassim, di sini, tampil dengan idea kreatif mengusahakan tanaman golden melon bagi menjana pendapatan sampingan tahfiz itu.
Menariknya, maahad tahfiz itu berjaya menjana pendapatan kasar sehingga RM10,000 semusim hasil 1,000 pokok golden melon yang diusahakan sejak Julai tahun lepas.
Pengurus projek yang juga salah seorang tenaga pengajar, Shrol Hisam, 40, berkata, setakat ini tanaman golden melon itu menyumbang kira-kira 10 peratus pendapatan maahad tahfiz.
“Pengetua tahfiz iaitu Ahmad Firdaus Mohd. Mazlan yang mencetuskan idea ini selain kami banyak mendapatkan khidmat nasihat dan tunjuk ajar daripada pengusaha golden melon berjaya di Simpang Pulai dan Coach Bahar,” katanya ketika ditemui.
Shrol memberitahu, kos permulaan bagi projek tanaman golden melon itu kira-kira RM40,000 yang dikongsi bersama-sama kakitangan maahad tahfiz itu.
Maahad Tahfiz al-Quran Al-Ahmad menggunakan kaedah fertigasi bagi penanaman buah golden melon yang mula mengeluarkan hasil antara 65 hingga 70 hari selepas ditanam.
Harga diladang bagi golden melon ialah RM15 sekilogram (kg). Rasanya manis dan rangup apabila dimakan.
Shrol berkata, musim pertama pada Oktober tahun lalu tidak menjadi kerana serangan lalat putih yang menyebabkan pertumbuhan tanaman golden melon terjejas dan tidak berbuah.
“Hasil khidmat nasihat daripada mereka yang pakar, syukur pada musim kedua pada hujung Disember tahun lalu kira-kira 800 kg buah golden melon berkualiti tinggi dapat dihasilkan.
“Malah, kami mengadakan hari terbuka di sini untuk kunjungan orang ramai pada 25 hingga 27 Disember lalu dan semua buah habis licin dijual pada hari terakhir,” ujarnya.















