Selamat Tahun Baharu 2024 buat pembaca Kosmo!. Hari ini juga merupakan hari kedua sesi persekolahan kepada lebih lima juta pelajar dan warga pendidik.
Bagi yang tidak sihat atau bergejala jangan culas jalani ujian Covid-19. Cegah sebelum merebak.
Kementerian Kesihatan sebelum ini menjangkakan kes positif Covid-19 melonjak selepas dua minggu cuti sekolah dan sambutan Krismas.
Perkara itu ada asasnya kerana dalam tempoh itu orang ramai mengambil peluang bercuti, berkunjung ke tempat tumpuan atau pulang ke kampung.
Justeru, sewajarnya ibu bapa memainkan peranan, cukuplah sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dijalani sebelum ini dan pastinya rakyat Malaysia tidak mahu tempuh lagi. Habis kualiti pelajar.
Bagaimanapun, bukan isu itu yang penulis mahu utarakan, tetapi tabiat merokok di premis makanan.
Pada 1 Januari 2020, kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di dalam premis makanan dan mereka yang dikesan melakukan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Melalui larangan itu, kerajaan menetapkan perokok perlu berada pada jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis makanan.
Bagaimanapun, arahan ini yang pada awalnya dipatuhi, namun setelah empat tahun, kelihatan dipandang sepi, tidak diendahkan sama ada peniaga mahupun pelanggan.
Tanda larangan merokok yang dilekatkan pada dinding premis tidak bermakna seolah-olah menganggap ia hanya hiasan. Boleh bergaduh jika ditegur jangan merokok.
Setiap daripada kita pastinya pernah melalui pengalaman makan atau lepak di restoran dan dengan terpaksa menyedut asap rokok. Puntung rokok bertaburan di lantai premis.
Jegil mata sudah, isyarat supaya berhenti merokok juga telah dibuat, namun sia-sia apabila si perokok jelas tidak cakna. Malah makin galak menghembuskan asap yang menyesakkan dada. Sikap begini sangat menjengkelkan.
Pengamal perubatan, Dr. Arifin Fii memberitahu, lebih tujuh juta daripada kematian di seluruh dunia akibat penggunaan tembakau secara langsung, manakala sekitar 1.2 juta adalah akibat daripada bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok.
Menerusi laporan pada Februari 2020 itu, Arifin berkata, terdapat kira-kira 4.8 juta perokok di Malaysia.
Penulis berharap penegasan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad untuk mempertingkatkan pengawasan perokok di premis membuahkan hasil. Selama ini memang ada tindakan, namun perlu diperhebatkan agar perokok menghindarkan tabiat buruk berkenaan. Mereka yang degil wajar dihukum.
Bukan untuk menyekat perokok tetapi biarlah ada pertimbangan, bukan semua suka asap rokok. Hukuman lebih berat pada mereka yang telah beberapa kali melanggar larangan.
Sedarlah merokok hanyalah pilihan kita, bukannya paksaan atau kewajipan. Belajarlah bertolak ansur kelak semua akan mendoakan anda.














