fbpx

Sorok kes jenayah seksual sebab malu, diugut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad memberi penerangan kepada pelajar SMK Derma mengenai kesedaran jenayah seksual di sekolah tersebut, hari ini.

KANGAR – Polis percaya masih banyak kes jenayah seksual yang tidak dilaporkan antaranya disebabkan malu, mangsa diugut dan penyelesaian di peringkat kedua-dua pihak.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, faktor tersebut menyebabkan mangsa atau keluarga mangsa cenderung menyembunyikan kejadian yang berlaku dan enggan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

“Ada dua jenis kategori iaitu kes yang dilaporkan dan tidak dilaporkan yang mana kita percaya salah satunya berkemungkinan berlaku penyelesaian di peringkat kedua-dua pihak.

“Sebagai contoh, penyelesaian antara keluarga mangsa dengan pelaku yang mungkin berakhir dengan perkahwinan dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Kesedaran Jenayah Seksual Dalam Kalangan Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, di sini hari ini.

Selain itu, kata beliau, terdapat juga keadaan keluarga cuba menyembunyikan jenayah seksual yang berlaku ke atas mangsa disebabkan malu dan sebagainya.

“Ada juga kemungkinan mangsa diugut (supaya tidak melaporkan kepada pihak berkuasa) atau akan mendedahkan apa yang ada dalam simpanan (pelaku) untuk terus lakukan tekanan atau ugutan ke atas mangsa,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 215 kes jenayah seksual dilaporkan berlaku di negeri ini dari tahun 2019 hingga tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 110 kes melibatkan jenayah rogol, 73 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, 17 kes sumbang mahram dan 15 kes liwat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI