BANYAK perkara yang dijanjikan oleh kerajaan pada tahun 2024 ini terutama dalam mengukuhkan sosio-ekonomi selain meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhannya.
Paling ketara adalah pengenalan pelbagai inisiatif baharu termasuk pelarasan semula agihan subsidi bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan oleh golongan yang layak.
Beberapa insentif dalam bentuk pemberian kewangan juga telah diumumkan, antaranya melibatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Khas Kakitangan Awam.
Bantuan Khas Kakitangan Awam kali ini akan menyaksikan penjawat awam gred 56 ke bawah menerima bayaran sebanyak RM2,000 pada akhir bulan depan.
Bagi STR 2024 pula, jumlah bayaran maksimum yang bakal dinikmati oleh penerima secara berperingkat telah dinaikkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 tahun lalu.
Segala bentuk inisiatif dan insentif yang dirancang kerajaan itu sekurang-kurangnya memberi kelegaan dan ‘nafas baharu’ kepada rakyat dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.
Namun, secara dasarnya, bantuan-bantuan itu adalah bersasar dan tidak mungkin dapat dinikmati oleh keseluruhan rakyat yang berjumlah lebih 33 juta orang.
Sebenarnya, ada dua perkara yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia pada tahun 2024.
Pertamanya, ia melibatkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) untuk menyemak skim gaji dan elaun tetap penjawat awam.
Dapatan kepada kajian ini dijangka diumumkan oleh kerajaan selewat-lewatnya pada penghujung tahun. Ini bermakna, dalam tahun ini juga, kira-kira 1.6 juta kakitangan awam bakal menikmati gaji dan elaun tetap yang baharu.
Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui sebelum ini tiada kajian menyeluruh mengenai skim gaji penjawat awam dilakukan sehinggalah kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Dalam pada itu, perkara kedua yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat pada tahun 2024 adalah pengenalan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau dikenali sebagai Akaun 3.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, Akaun 3 ini bakal berfungsi sebagai akaun simpanan untuk saat kecemasan selain menggantikan kaedah pengeluaran bersasar yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Dengan pengendalan Akaun 3 ini, pencarum kini mempunyai pilihan untuk membuat pengeluaran dari akuan KWSP milik mereka berdasarkan keperluan terutama dalam hal-hal kecemasan.
Sebagai permulaan, pelaksanaan Akaun 3 ini akan dimulakan pada bulan April, namun sehingga kini, butiran lanjut mengenai akaun tersebut belum diperincikan.
Apapun pengumumannya kelak, rakyat hanya mengharapkan segala perancangan dan susun atur yang dibuat kerajaan sepanjang 2024 ini dapat memberi manfaat.
Lebih daripada itu, rakyat juga mahu melihat kesungguhan dan komitmen daripada setiap menteri dalam menjalankan amanah demi kebaikan negara sepanjang tahun ini. – KOSMO! ONLINE














