fbpx

Berjimat tak bererti kualiti hidup terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

USAI tirai tahun 2023 dilabuhkan, barangkali sekian ramai khalayak sudah menanam azam baharu untuk tahun ini terutama melibatkan pengurusan perbelanjaan.

Mana tidaknya, mereka yang bergelar ibu bapa perlu bersiap sedia bagi sesi persekolahan mahupun kehadiran Aidilfitri yang menyusul selepas itu.

Tidak pasti azam tersebut bakal dilakukan atau sekadar hangat-hangat tahi ayam, mahu tidak mahu, dalam arus kehidupan yang semakin kompleks ini, penting bagi kita untuk menguruskan perbelanjaan dengan bijak.

Ditambah pula dengan kenaikan harga keperluan harian, sebelum jatuh ditimpa tangga, lebih baik sediakan payung sebelum hujan.

Menurut Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), sebanyak 84 peratus rakyat negara ini didapati hanya membuat simpanan jangka pendek dan mengeluarkan semula simpanan pada hujung bulan bagi menampung perbelanjaan harian.

Separuh daripada rakyat Malaysia tidak dapat menyimpan sebanyak RM1,000 untuk kegunaan ketika kecemasan disebabkan kurangnya pemahaman mengenai perancangan kewangan.
76 peratus rakyat Malaysia pula mempunyai belanjawan, tetapi tidak semua benar-benar mematuhi belanjawan itu.

Bagi Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizuddin Nooh, sangat penting untuk memiliki keselarasan antara azam berjimat cermat dan tindakan realitistik dalam pengurusan kewangan.

“Memiliki azam untuk berjimat cermat adalah langkah baik, terutama mengingat adanya beban tambahan seperti perbelanjaan sekolah dan keperluan bulan puasa.

“Namun, penting juga untuk memastikan bahawa azam tersebut perlu diikuti dengan tindakan nyata.

“Jika seseorang masih melakukan kebiasaan berbelanja sakan tanpa pertimbangan yang matang, itu akan menjadi kekangan dalam mencapai tujuan berjimat cermat dan mengurus kewangan dengan bijak,” katanya.

Mencari solusi daripada terjerat dengan situasi sedemikian, Noorizuddin berkata, penting untuk membuat perancangan anggaran yang realistik dan disiplin diri dalam mengikutinya.

“Kita perlu menilai pengeluaran dan memberikan ‘priority’ kepada keperluan yang mendesak. Melibatkan keluarga dalam perancangan kewangan juga dapat membantu menciptakan kesedaran dan tanggung jawab untuk berjimat cermat.

“Selain itu, penting juga untuk mencari cara alternatif untuk membuat pembelian, seperti membandingkan harga, mencari diskaun atau promosi.

“Selalu ingat bahawa berjimat cermat bukan bererti mengorbankan kualiti hidup, tetapi lebih kepada pengurusan sumber dengan bijak,” ujarnya.

Tambah Noorizuddin lagi, keadaan ekonomi rakyat Malaysia sekarang amat parah, sehingga ramai begitu mudah membuat pinjaman tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

“Kita kena pandai membuat anggaran dan merancang kewangan, membuat simpanan wajib, mengurangkan hutang dan berbelanja dengan bijak bagi meningkatkan kualiti hidup,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`. This does not appear to be a valid RSS or Atom feed.