BANDAR GAZA – Sebanyak 29,000 butir bom dan peluru digugurkan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza setakat pertengahan Disember lepas, dengan skala kemusnahan disifatkan sebagai paling dahsyat dalam sejarah perang moden, lapor laman berita Al Mayadeen kelmarin.
Menurut laporan akhbar The Wall Street Journal, hampir 70 peratus daripada 439,000 rumah di Gaza dan kira-kira separuh daripada bangunan di wilayah itu telah rosak atau musnah.
Penilaian tersebut dibuat berdasarkan analisis imej satelit dan teknik pengesanan jarak jauh yang lain.
“Pengeboman telah memusnahkan gereja-geraja dari zaman Byzantine, masjid-masjid warisan, kilang, bangunan pangsapuri, pusat beli-belah, hotel, panggung persembahan dan sekolah.
“Sebahagian besar infrastruktur air, elektrik, komunikasi dan penjagaan kesihatan sukar untuk dibaiki,” kata laporan berkenaan.
Sementara itu, agensi berita Anadolu melaporkan, askar Rejim Zionis telah memusnahkan lebih 200 daripada 325 tapak arkeologi dan purba di seluruh Gaza sejak 7 Oktober lalu.
Pejabat Media Gaza berkata, tapak-tapak tersebut termasuk gereja, masjid, sekolah dan muzium serta beberapa lokasi bersejarah dan monumen.
“Tapak purba dan arkeologi yang dimusnahkan oleh tentera Israel bermula pada zaman Phoenicia dan Rom, manakala yang lain bermula antara 800 SM hingga 1,400 SM, selain ada yang dibina kira-kira 400 tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan. – AGENSI














