JENAMA Isuzu memang terkenal dengan kenderaan industri termasuk model pikap, D-Max yang popular sebagai jimat bahan api.
Model D-Max terbahagi kepada beberapa varian seperti X-Terrain, Premium, Auto Plus, Standard dan Single Cab.
Isuzu menawarkan dua enjin 3.0 liter dan 1.9 liter sebagai pilihan. Ia boleh didapati dalam jenis pacuan dua roda dan empat roda.
Pada bulan Oktober lalu, penulis telah dipelawa Isuzu Malaysia untuk menyertai Borneo Safari di Sabah.
Ketika ekspedisi itu, penulis berpeluang untuk memandu uji Isuzu D-Max Single Cab 1.9 liter yang telah dimodifikasi untuk perjalanan ‘offroad’.
Trak pikap jenis Single Cab ini walaupun merupakan pacuan empat roda kebiasaannya hanya digunakan untuk tujuan komersial. Dari segi spesifikasi memang kurang menarik.
Itu mungkin antara objektif Isuzu Malaysia menyertai Borneo Safari bagi membuktikan keupayaan jentera mereka yang hanya menggunakan enjin 1.9 liter.

Walaupun sesudah modifikasi rupanya bak sebuah ‘monster truck’, kenderaan ini sebenarnya masih menggunakan enjin standard.
Model ini menggunakan enjin 1.9 liter turbo diesel dengan kod nama RZ4E-TC dan transmisi manual enam kelajuan dengan GSI. Kombinasi itu menghasilkan kuasa maksimum 150PS pada 3,600rpm dan tork tertinggi sehingga 350Nm antara 1800 dan 2,600rpm. Tangki diesel pikap ini bersaiz 76 liter.
Dari segi rekaan, model Single Cab ini mempunyai ruang simpanan barangan yang luas bersaiz 2,345 milimeter (mm), 1,590 mm (lebar) dan tinggi (465 mm).
Panjang kenderaan ini ialah 5,330 mm, lebar (1,810 mm), tinggi (1,770 mm) dan jarak antara roda 3,125 mm.
Lampu hadapan jenis halogen dengan fungsi follow me home boleh dilaras secara manual.
Masuk ke ruang kabin, model ini hadir dengan ciri asas dua tempat duduk, panel meter konvensional, radio 1-Din dengan USB dan Bluetooth, dua speaker dan dua beg udara keselamatan.

Antara ciri keselamatannya ialah Anti-lock Brake System (ABS), Electronic Brake-force Distribution (EBD), Electronic Stability Control (ESC) dan Traction Control System (TCS).
Menariknya, model ini dilengkapi pelindung pada bahagian bawah (under body protection) dan kemampuan meredah air pada kedalaman 800mm.
Model yang kami pandu ini juga telah ditambah dengan aksesori bersesuaian bagi laluan ‘offroad’ yang lasak seperti di hutan Borneo kali ini.
Antara peralatan yang ditambah seperti snorkle untuk meredah air, tayar lipan (offroad), bampar besi depan belakang serta bar besi keliling.
Pada bampar besi depan juga dipasang winch untuk membantu sekiranya tersangkut, lampu-lampu tambahan, side tent, tangki air dan diesel serta penyangkut tayar simpanan.
Model ini juga sudah ditinggikan dengan badan kenderaan dinaikkan, manakala sistem suspensi ditinggikan sebanyak dua inci.
Bagi memperkemas lagi model ini untuk kegunaan ekspedisi kenderaan ini telah dipasang dengan tangki air dan shower untuk mandi.
















