fbpx

Program GET diteruskan tahun hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Program GET.

PUTRAJAYA – Program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang diperkenalkan bagi menawarkan bekalan elektrik hijau daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna ‘Environmental, Social and Governance’ (ESG) akan diteruskan tahun hadapan.

Program yang bermula pada tahun 2022 itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Sumber Daya Awam dalam menyokong aspirasi negara ke arah negara neutral karbon pada tahun 2050.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, pengguna yang melanggan GET akan dibekalkan dengan bekalan elektrik daripada sumber TBB yang dijana daripada loji jana kuasa solar dan hidro yang sedang beroperasi.

Jelasnya, pengguna mendapat sijil yang mengesahkan bahawa bekalan elektrik tersebut adalah bekalan elektrik daripada sumber TBB melalui sijil Malaysia Renewable Energy Certificates (mREC) yang berdaftar dengan badan persijilan antarabangsa.

“Pada Februari lalu, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad telah membuka langganan GET dengan jumlah kuota 6,600GWj dengan kadar premium 21.8sen/kWj iaitu berdasarkan kepada penanda aras penetapan harga runcit bekalan elektrik hijau di negara jiran yang menawarkan produk yang serupa.

“Memandangkan langganan sedia ada pengguna bagi program GET ini akan ditamatkan secara automatik menjelang 31 Disember ini,” katanya, hari ini.

Tambah kenyataan itu, kementerian itu juga sedang meneliti serta menambah baik pelaksanaan dan kaedah pengoperasian program ini antaranya meneliti semula kadar premium yang ditetapkan agar ia lebih kompetitif dan menarik.

“Meneliti semula kaedah penawaran GET bagi membenarkan tempoh langganan yang lebih panjang.

“Menetapkan kaedah bagi memberikan keutamaan langganan kepada pelanggan GET sedia ada yang setia bersama program ini untuk memperbaharui langganan masing-masing,” ujarnya.

Berhubung perincian mengenai tawaran, kata kenyataan itu, pelaksanaan serta kaedah langganan program ini akan dimaklumkan oleh kementerian itu pada masa terdekat setelah kajian dan penelitian semula program ini diselesaikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI