fbpx

Mengidam dorong Auni hasilkan kek tapak kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Auni dan suami gembira dengan produk kek yang dihasilkan mereka.

MINAT dan kegemarannya terhadap kek tapak kuda mendorong seorang wanita muda mengasaskan sendiri perniagaan pencuci mulut itu.

Kek itu dinamakan kek tapak kuda kerana bentuknya seperti ladam kuda. Teskturnya seakan sama dengan kek swiss roll.

Menurut Auni Aufiyah See Abdullah yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, setiap kali tiba musim perayaan, pasti hidangan tersebut tersedia di atas meja bagi dijamu kepada tetamu yang datang.

Pun begitu, selepas bernikah dan berhijrah mengikut suami ke Semenanjung beberapa tahun lalu, dia merasakan begitu sukar untuk mendapatkan kek tersebut dan terdetik untuk membuat sendiri di rumah.

“Justeru selepas melahirkan anak pertama, suami menghadiahkan sebuah oven kepada saya kerana dia tahu minat saya yang suka baking (membuat kek). Wang pemberian suami sebanyak RM300 juga saya jadikan modal membeli bahan-bahan kek dan mesin pengadun.

“Ceritanya, sebelum itu lagi ketika hamil, beberapa kali saya teringin dan mengidam makan kek tapak kuda, tetapi kek gulung berinti coklat kacang hazel ketika itu sangat sukar didapati di Perak,” katanya kepada Aura.

Selepas bersalin, dia mula memberanikan diri masuk ke dapur dan membuat sendiri kek tapak kuda mengikut resipi dan cara tersendiri.

Selang beberapa minggu, dia mula menerima tempahan permulaan sebanyak dua biji kek daripada jiran berdekatan tempat tinggalnya.

Bermula dari dapur di rumah, Auni kini mempunyai premis sendiri dan sejumlah kakitangan yang membantu pengeluaran kek tapak kuda.

Hari demi hari, permintaan kek tradisi Sabah itu semakin bertambah sementelah Auni juga mempromosikannya di laman sosial Facebook peribadi miliknya.

Bermula dengan sebuah oven kecil pemberian suami itu, dia kemudian tidak menyangka percubaan sekadar suka-suka itu mendapat sambutan hingga ke hari ini.

Jelas Auni, 25, dia sebelum ini memang tidak pernah bekerja dan hanya bergelar suri rumah sepenuh masa.

“Dunia memasak dan baking (kek) memang menjadi minat saya sejak kecil lagi. Cumanya, saya tiada pendidikan formal dalam bidang bakeri.

“Sebelum ini juga, saya pernah berniaga secara online yang hanya mahu mencari pendapatan secara pasif seperti menjual pakaian, jamu, petai dan lain-lain.

“Alhamdulillah sejak diperkenalkan pada 2021 dan bermula dari dapur di rumah sendiri, saya sudah ada 26 kakitangan dan premis sendiri di bawah jenama Kek Tapak Kuda

Dapur Azra dan dalam proses membesarkan lagi pengeluaran,” ujarnya.

Berkongsi soal cabaran, Auni memberitahu, setiap perniagaan sama ada kecil atau besar, pasti tidak terlepas daripada cabaran dan ujian tersendiri.

Katanya, selepas jenamanya mula dikenali di media sosial, tidak dinafikan banyak persaingan yang lahir bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Pun begitu, pihaknya mempunyai cara dan keunikan tersendiri untuk dikenali pelanggan.

Melihat masa depan perniagaan yang cerah, Auni mahu membawa jenamanya mengorak langkah lebih jauh dengan membuka premis lebih besar dalam masa beberapa tahun lagi.

Akuinya, dia tidak pernah terfikir mampu sampai ke tahap ini dan gembira dapat berkongsi rezeki dengan membuka peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat.

“Sebelum ini, ada pihak persoalkan jaminan pekerja saya yang dikatakan tiada masa depan kerana diberi gaji hari.

“Saya ingin mengubah stigma dan membuktikan perniagaan kek ini mampu mengubah taraf hidup mereka ke arah lebih baik,” ujarnya yang baru pulang dari Tanah Suci Mekah mengerjakan umrah bersama suami dan anaknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI