HATYAI, Thailand – Sebahagian pelancong dari Thailand dikatakan tawar hati untuk berkunjung ke Malaysia kerana mendakwa layanan yang kurang memuaskan, selain terpaksa berhadapan kerenah birokrasi.
Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asia Tenggara (TAHTA), Aida Oujeh berkata, tahap hospitaliti dan layanan mesra oleh penggiat industri pelancongan perlu ditingkatkan bagi menarik lebih ramai rakyat Thailand berkunjung ke Malaysia.
Katanya, perkara itu penting kerana masih terdapat permintaan tinggi daripada rakyat dari 14 wilayah selatan Thailand untuk melancong ke destinasi menarik di Malaysia.
Menurut rekod TAHTA, terdapat kira-kira 13 juta penduduk di 14 wilayah selatan Thailand dengan 20 peratus daripadanya atau 2.6 juta berpotensi mengunjungi Malaysia.
“Isu hospitaliti seperti tahap tempat penginapan dan layanan mesra daripada pengusaha pelancongan didapati masih lagi kurang memuaskan pelancong dari negara itu.
“Sebagai contoh, apabila pelancong meminta peralatan tambahan seperti seterika di hotel, kadangkala tiada maklum balas atau pekerja membuat sikap acuh tidak acuh,” katanya ketika ditemui di lobi sebuah hotel halal di pusat bandar Hatyai, di sini kelmarin.

Terdahulu Aida menghadiri mesyuarat anjuran Persatuan Wartawan Selatan Thailand bersama Sekretariat Kebangkitan Nusantara Sejahtera dalam usaha merungkai permasalahan pelancongan Malaysia-Thailand.
Kata Aida, layanan mesra kepada tetamu merupakan aspek penting dalam industri pelancongan kerana ia mampu mendorong kepada peningkatan kemasukan pelancong sebagaimana diamalkan di Bali, Indonesia yang mempunyai layanan dan kemesraan jauh lebih baik.
Dia pada masa sama tidak menolak kemungkinan taraf hidup pengusaha pelancongan di Malaysia lebih selesa berbanding Thailand menyebabkan mereka kurang memberikan layanan terbaik untuk menarik kedatangan pelancong.
“Selain isu hospitaliti, kami di pihak persatuan juga melihat kerenah birokrasi yang tinggi juga memberi kesan kepada kemasukan pelancong Thailand ke Malaysia.
“Pernah kenderaan yang digunakan oleh ejen pelancongan menuju ke Genting Highlands terpaksa berhenti lebih daripada empat kali kerana ditahan penguat kuasa kerana disangka membawa masuk pendatang asing tanpa izin,” jelasnya.
Sehubungan itu katanya, keadaan itu memberikan gambaran yang tidak selesa kepada pelancong serta ejen mereka di Malaysia tentang layanan kepada pelancong Thailand serta menghilangkan mood percutian mereka.
Selain itu katanya, isu birokrasi dan prosedur yang tidak mesra pelancong di pintu-pintu sempadan dua negara juga perlu diatasi kementerian dua negara bagi memberi keselesaan kepada pengunjung negara Gajah Putih melancong ke Malaysia.
Difahamkan, hanya 700,000 pelancong Thailand memasuki Malaysia sejak Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tiga juta rakyat Malaysia mengunjungi Thailand dalam tempoh sama.
Menurut Aida, Malaysia mempunyai potensi besar menerima kehadiran pelancong terutama dari 14 wilayah selatan Thailand, namun perlu menambah baik beberapa perkara tersebut.
“Maklumat yang kami peroleh daripada pengusaha pelancongan di negara ini mendapati, memang ada permintaan tinggi untuk ke beberapa lokasi menarik di Malaysia seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur, Genting Highlands di Pahang dan juga Pulau Pinang.
“Pelancong dari Thailand juga gemar bercuti di kawasan bandar, meminati binaan eksklusif seperti mengunjungi istana, pulau serta produk tekstil yang pelbagai adalah tarikan di Malaysia,” katanya.
Ujarnya, kebiasaannya pakej ditawarkan untuk mengunjungi lokasi sekitar Genting Highlands atau Kuala Lumpur bermula RM500 seorang dan sudah tentu mereka akan berbelanja lebih untuk membeli barangan dan makanan yang ditawarkan.
Tambahnya, pengusaha sektor pelancongan di negara ini perlu melakukan kajian minat khas pelancongan seperti dilakukan di Thailand.















