fbpx

Mangsa banjir di 6 negeri termasuk Johor, Sabah melepasi 27,000 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masyarakat Orang Asli menaiki perahu untuk mengambil bantuan bakul makanan yang disediakan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Gua Musang di RPS Kuala Betis. Foto oleh AIMUNI TUAN LAH/ KOSMO!

PETALING JAYA – Jumlah keseluruhan mangsa banjir di enam negeri sehingga kini mencecah 27,758 mangsa membabitkan 8,467 keluarga.

Menerusi maklumat dipaparkan pada Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 10 pagi, negeri-negeri yang terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan yang terbaru adalah Johor dan Sabah

Menurut info tersebut, Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 17,373 mangsa terdiri daripada 5,582 keluarga.

“Di Terengganu mangsa banjir mencecah 10,004 mangsa terdiri daripada 2,779 keluarga manakala di Pahang menunjukkan penurunan kepada 125 mangsa terdiri daripada 34 keluarga.

“Mangsa di Sabah pula mencatatkan 169 mangsa terdiri daripada 46 keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, di Johor hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan 83 mangsa terdiri daripada 25 keluarga.

“Sama juga seperti di Selangor, hanya satu PPS dibuka melibatkan empat mangsa terdiri daripada satu keluarga,” ujarnya.

Sehingga kini, jumlah PPS yang dibuka adalah sebanyak 203 dimana 113 PPS di Terengganu, Kelantan (81), Sabah (3), Johor (1) dan Selangor (1).

Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan luruan monsun berlaku sehingga hari ini, berdasarkan analisis model-model cuaca.

Menerusi kenyataan di laman sesawangnya semalam, MetMalaysia berkata keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di timur Semenanjung dan angin kencang serta laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.

“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam.

“MetMalaysia juga telah mengemas kini amaran hujan berterusan (waspada) yang melibatkan Terengganu, Pahang dan Johor serta amaran angin kencang dan laut bergelora berkuat kuasa sehingga hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI