fbpx
Tangkap layar perbualan mesej lelaki yang menyamar sebagai kaunselor dengan mangsa.

‘Dia paksa saya buat panggilan video ketika ­pam susu badan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ambil ke­sempatan dengan menyamar sebagai kaunselor penyusuan ibu sebelum meminta gambar dan membuat panggilan video untuk melampiaskan nafsu sendiri.

Itu taktik yang digunakan segelintir individu gila seks untuk memperdaya golo­ngan ibu muda kononnya gambar dan vi­deo tersebut digunakan bagi tujuan mengajar teknik penyusuan bayi yang betul.

Taktik pemangsa adalah menyertai kumpulan Telegram berkaitan topik tips penyusuan ibu dan memahami terma-terma yang digunakan kaunselor bertauliah.

Mereka menyasarkan golo­ngan ibu muda yang kerap bertanya soalan dalam kumpulan tersebut seterusnya menghantar mesej peribadi kepada individu terbabit dengan menyamar sebagai kaunselor laktasi.

Seorang wanita dikenali sebagai Putri, 30, berkata, dia menerima mesej daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai Atikah awal tahun ini yang menawarkan bantuan tentang teknik penyusuan bayi.

“Pada mulanya, saya tanya bagaimana dia boleh menghantar mesej kepada saya. Dia beri­tahu telah dipilih oleh mentor dan diberi tanggungjawab membimbing saya.

“Saya beritahu masalah yang saya hadapi, kemudian dia minta saya buat panggilan video. Semasa panggilan dibuat, dia tidak mengaktifkan kamera. Jadi saya matikan panggilan.

“Bila ditanya kenapa tidak bersuara, dia beritahu dirinya orang kelainan upaya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Putri, individu itu juga berkali-kali mengganggu dirinya dengan menghantar mesej dan memaksa untuk membuat panggilan video ketika menge­pam susu badan.

Putri yang berasa tidak selesa kemudian menyekat individu tersebut dan hanya mengetahui modus operandi suspek selepas dihebahkan dalam kumpulan Telegram.

Difahamkan, kerja jijik itu bermula sejak Julai 2022 dan individu terbabit menggunakan nama dan gambar profil berbeza ketika mendekati mangsa.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Rizqeen, 35, memberi­tahu, seorang individu memper­kenalkan diri sebagai Madam Husna menghantar mesej me­ngaku kaunselor laktasi.

“Kebetulan ketika itu saya sedang mencari kaunselor. Dia bertanyakan beberapa soalan se­perti kaunselor bertauliah. Saya curiga apabila dia meminta video mengepam susu badan. Saya te­rus menyekatnya,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Kos­mo! di dalam kumpulan aplikasi tersebut mendapati terdapat le­bih 20,000 pengikut terdiri dari­pada golongan ibu muda yang ingin mendapatkan tips daripada kaunselor laktasi bertauliah iaitu Nurun Nadia Masrom.

Nurun Nadia memberitahu, beliau menubuhkan kumpulan tersebut sejak tahun lepas bagi membantu para ibu khususnya golongan muda yang menghadapi masalah dalam penyusuan bayi.

“Ada yang kecam kerana berkongsi secara terbuka di media sosial. Topik ini dianggap sensitif bagi sesetengah pihak. Seorang laktasi bertauliah tidak akan sesekali membuat panggilan video atau meminta gambar.

“Jika masalah itu serius sekali pun, kami akan menjalankan pemeriksaan secara bersemuka,” katanya.

Wanita itu menerima banyak panggilan dan mesej berbaur lucah daripada lelaki kononnya ingin mendapatkan kaunseling berkaitan teknik penyusuan bagi pihak isteri mereka.

“Kebanyakan ibu terpedaya kerana bahasa yang digunakan dan istilahnya adalah sama yang selalu saya kongsi,” katanya yang turut membuat laporan polis di Johor pada Februari lalu.

Beliau menasihati para ibu untuk menyemak terlebih dahulu sebelum bersetuju mendapatkan khidmat kaunselor laktasi.

“Mereka yang diganggu oleh individu yang tidak bertanggungjawab ini berasa sangat terkesan dan trauma. Golongan ibu ini berada dalam kesusahan, tetapi diperlakukan dengan perbuatan kotor seperti itu.

“Selepas itu, mereka akan bertindak menjauhkan diri dan seterusnya gagal dalam penyusuan bayi. Kaunselor laktasi dan perkongsian tentang ilmu penyusuan di Malaysia juga kurang berbanding negara lain.

“Jadi untuk memastikan kre­dibiliti seseorang kaunselor itu, pastikan mereka mendapat tauliah daripada badan kerajaan atau bukan kerajaan. Minta sijil pengesahan pertauliahan sebelum bersetuju mendapatkan khidmat mereka,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN