fbpx

Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 berakhir 31 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 yang menawarkan hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai hampir RM500,000 kepada seramai 138 pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) akan berakhir pada 31 Disember ini.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, kempen yang bermula pada 1 Januari lalu tersebut antara usaha dan strategi PTPTN bagi membudayakan amalan penabungan.

”PTPTN turut menyeru masyarakat Malaysia untuk segera membuat simpanan di Simpan SSPN sebelum 31 Disember 2023 untuk mendapatkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 bagi tahun taksiran 2023 dan pelbagai manfaat yang ditawarkan.

“Pendeposit disarankan membuat pembukaan akaun atau penambahan simpanan melalui aplikasi myPTPTN bagi urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat. Pendeposit juga boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai keistimewaan dan manfaat produk Simpan SSPN,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, kenyataan media itu memaklumkan, pemberian dividen Simpan SSPN yang patuh syariah dan dijamin kerajaan bagi tahun 2023 dijangka meningkat berbanding tahun 2022 berdasarkan kepada peningkatan pelaburan dan trend prestasi deposit yang membanggakan setiap tahun.

Menurut kenyataan itu, Simpan SSPN Prime juga menawarkan manfaat perlindungan takaful ke atas pendeposit.

“Inilah keistimewaan Simpan SSPN yang memberikan manfaat perlindungan takaful percuma secara ringgit ke ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian ilat kekal menyeluruh kepada mereka.

“Sememangnya nilai manfaat ini tidak dapat menggantikan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa, namun simpanan di dalam Simpan SSPN dan nilai manfaat yang diterima ini dapat menampung kos pendidikan anak-anak yang ditinggalkan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Simpan SSPN Prime turut menawarkan Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak iaitu ibu bapa yang mempunyai pendapatan bulanan tidak melebihi RM4,000.

Jelas PTPTN, Geran Sepadan itu merupakan insentif kewangan yang ditawarkan bagi penerima manfaat iaitu anak-anak yang diterima dan mendaftar masuk ke mana-mana Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang diiktiraf oleh kerajaan.

“PTPTN memperkenalkan Simpan SSPN untuk membantu ibu bapa merancang kewangan dari awal usia anak-anak. Ternyata, Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang memberikan peluang kejayaan untuk anak-anak.

“Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang menawarkan manfaat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahunyang telah dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2024.

“Ia merupakan insentif istimewa kepada pendeposit Simpan SSPN yang memberikan kelebihan berbeza berbanding produk simpanan lain di pasaran,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI