fbpx

‘Geng Rantau Fiesta’ ditembak mati di Selayang, aktif sejak 2011

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein ketika sidang akhbar di IPD Gombak hari ini

GOMBAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan ‘Geng Rantau Fiesta’ yang aktif menjalankan aktiviti samun dan pecah rumah dalam insiden tembak menembak antara tiga suspek dan sepasukan polis di Jalan SJ7, Taman Selayang Jaya, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepasukan polis yang melakukan rondaan pencegahan jenayah telah terserempak sebuah kereta jenis Ford Fiesta dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Katanya, suspek dalam kenderaan tersebut enggan memberi kerjasama sewaktu melakukan pemeriksaan sebelum bertindak agresif dengan melepaskan tiga das tembakan ke arah kenderaan polis.

“Ketiga-tiga suspek ditemui mati berlumuran darah di dalam kereta. Polis turut menjumpai dua pucuk pistol revolver dan sebilah parang.

“Suspek dipercayai merupakan warga asing berusia 30-an. Dua daripada suspek memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) manakala seorang lagi yang tidak mempunyai sebarang kad pengenalan, merupakan etnik Rohingya.

“Suspek etnik Rohingya melakukan kes-kes pecah rumah, samun sejak tahun 2011. Kumpulan ini dengan keahlian tiga hingga empat orang pernah ditangkap dan salah seorang si mati mempunyai 12 rekod jenayah (kebanyakan kes samun) yang pernah ditahan pada 2016 dan 2017 bagi kesalahan pecah rumah,”ujarnya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Gombak, di sini, petang hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dua identiti suspek pemegang kad UNCHR masih dalam siasatan dan perlu melakukan semakan lanjut bagi mengenal pasti sama ada identiti mereka benar atau telah dipalsukan.

Menurut beliau, kumpulan ini telah melakukan sebanyak 27 kes di Selangor pada tahun ini dan bergiat aktif di enam negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Kuala lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.

Modus operandi kumpulan ini adalah pecah rumah yang mana sasaran mereka adalah rumah tidak berpenghuni dan segelintir kes berubah menjadi samun kerana suspek terserempak dengan tuan rumah.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, kita percaya telah menumpaskan kumpulan etnik Rohingya yang aktif sejak 2011 di enam negeri.

“Kita percaya senjata api yang dibawa masuk adalah secara haram dan kita perlu jalankan siasatan lanjut mengenainya. Sementara itu, kenderaan yang digunakan (Ford Fiesta) pula dibeli dengan pemilik asal (sambung bayar) dan kereta itu terlibat dalam banyak kes yang disiasat,”katanya.

Mengulas lanjut mengenai tembakan yang berlaku, beliau berkata, pihaknya percaya suspek ketika kejadian dalam perancangan untuk merompak dan kawasan lingkaran suspek adalah di Batu Caves, Pasar Borong Selayang serta aktif merompak di Hulu Selangor dan Ulu Yam.

“Kumpulan ini telah mengakibatkan kerugian RM1.3 juta yang mana kes terbaharu di Selangor adalah pada 8 Disember lalu di Batang Kali yang menyebabkan kerugian bernilai RM300,000. Seterusnya, satu kes di Hulu Selangor pada 15 November yang menyebabkan kerugian RM25,000.

“Semua 27 kes yang diberitahu adalah kes untuk tahun ini sahaja. Setakat ini, mereka tidak menyebabkan kecederaan mangsa samun kerana kebanyakan sasaran mereka adalah rumah tidak berpenghuni yang mana mereka akan mengambil barang berharga, wang tunai dan sebagainya,” tambahnya lagi.

Susulan penemuan suspek terbabit, pihaknya percaya telah menyelesaikan lebih 50 kes di seluruh negara setakat ini.

Menurut Hussein, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI