fbpx

Geely mahu bina universiti di Tanjung Malim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (duduk, empat dari kiri) bergambar di Bangunan Perak Darul Ridzuan) di Ipoh selepas merasmikan pembukaan Dewan Belia Negeri Perak 2023 hari ini.

IPOH – Syarikat kenderaan dari China, Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely) telah menyatakan hasrat kepada kerajaan negeri Perak untuk membina sebuah universiti di Tanjung Malim.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sudah menjadi kelaziman bagi syarikat tersebut untuk membina sebuah universiti di kawasan perusahaannya dan amalan tersebut mahu diteruskan di Tanjung Malim oleh Geely.

Menurut beliau, Geely yang terlibat dengan projek Automotive High Tech Valley (AHTV) dengan nilai pelaburan RM32 bilion di kawasan tersebut bakal melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang automotif menerusi universiti berkenaan.

“Selain daripada syarikat Proton (Proton Holdings Bhd.) telah bersetuju pindah operasi keseluruhannya dari Shah Alam, Selangor ke Proton City, ia ditokok tambah dengan pelaburan bernilai RM32 bilion yang akan dibawa masuk oleh Geely melalui AHTV.

“Jadi mereka (Geely) datang bukan sahaja membawa pelaburan untuk pembangunan pusat perindustrian AHTV tetapi berhasrat membangunkan sebuah universiti.

“Di China, tiap-tiap (lokasi) perusahaannya ada universiti. Jadi di Perak ini, mereka nak buat satu universiti. Maknanya ia nanti akan melatih serta melahirkan bakat-bakat muda dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan juga teknologi automotif,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan Dewan Belia Negeri Perak 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, tempoh pembinaan universiti Geely tersebut masih belum ditentukan namun syarikat tersebut sudah meminta kerajaan negeri untuk menyediakan tempat bagi tujuan berkenaan.

“Belum ada jangka masa yang konkrit, namun idea sudah ada dan (Geely) minta sediakan tempat dan kita sudah cadangkan tempat,” katanya yang turut menegaskan, pembinaan universiti tersebut bakal membuka pelbagai peluang pekerjaan bagi golongan muda seperti dalam bidang akademik.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kerajaan negeri telah mengenal pasti lokasi bagi pembinaan Kawasan Perindustrian Kerian dengan cadangan berhubungnya telah dipersetujui oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

“PLANMalaysia telah bersetuju dengannya bahkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak juga meluluskan dan menghantar cadangan itu ke Kementerian Ekonomi untuk diteliti,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI