fbpx

Hormati undang-undang kesalahan goda isteri orang – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im.

PUTRAJAYA – Semua pihak diseru menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menggoda isteri orang sebagai tidak berperlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya juga ambil maklum berhubung perkara berkenaan serta menghormati keputusan tersebut.

Katanya, penghakiman tersebut dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Hakim berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik.

“Pun begitu, jika dilihat daripada aspek Hukum Syarak, Islam sangat mementingkan keharmonian rumahtangga dan ikatan perkahwinan pasangan suami isteri.

“Islam melarang perbuatan mengganggu isteri orang atau sebarang usaha untuk meruntuhkan rumahtangga,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Jelasnya, selaras dengan Hukum Syarak ini, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] telah menjadikan perbuatan mengganggu keharmonian rumahtangga sebagai suatu kesalahan di bawah Seksyen 36 mengenai kesalahan memujuk lari perempuan bersuami.

“(Selain itu) Seksyen 37 mengenai kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri dan Seksyen 38 mengenai kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

“Peruntukan-peruntukan ini secara tidak langsung dapat menjamin keharmonian rumahtangga selaras dengan kehendak syarak,” ujarnya.

Mohd. Na’im turut menjelaskan, pemansuhan ini tidak menjejaskan peranan jabatannya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) serta lain-lain agensi dalam melaksana program pengukuhan institusi keluarga.

“Seluruh umat Islam terutama para suami dan isteri diseru untuk bersama-sama berganding bahu bagi melaksanakan kewajipan masing-masing, tingkat akhlak dalam pergaulan dan agensi berkitan agama perlu memperhebat program-program pendidikan dalam menghayati kepentingan keutuhan keluarga,” katanya.

Pada 15 Disember lalu, media melaporkan, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 498 Kanun Keseksaan tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah untuk mendakwa lelaki yang menggoda isteri orang.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat apabila mengisytiharkan seksyen itu tidak berperlembagaan kerana melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan ­jantina. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI