fbpx

1.2 juta pengguna domestik bakal hadapi kenaikan bil elektrik bulanan tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kira-kira 1.2 juta pengguna elektrik domestik dengan kadar bil bulanan anggaran RM220 bakal mengalami kenaikan bil bulanan iaitu sekitar 4.2 hingga 6 peratus bermula 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.

Kenaikan itu menyaksikan mereka perlu membayar sekitar RM12 hingga RM32 sebulan bagi bil elektrik rumah mereka.

Namun, sejumlah 85 peratus atau seramai 7 juta pengguna domestik di Semenanjung tidak terjejas dengan pelarasan tarif di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) bagi tempoh tersebut.

Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, pada 13 Disember lalu kerajaan bersetuju supaya pelarasan tarif elektrik di bawah ICPT dilaksanakan secara penyasaran semula subsidi bagi pengguna di Semenanjung kecuali pengguna di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

Katanya, tarif elektrik bagi pengguna domestik dengan dengan unit penggunaan elektrik sebanyak 600 Kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah kekal menerima rebat 2 sen/kWj.

“Pengguna dengan unit penggunaan elektrik melebihi 600 kWj hingga 1,500 kWj tidak dikenakan surcaj.

“Manakala dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj, surcaj kekal pada kadar 10 sen/kWj,” katanya dalam kenyataan tadi.

Dalam pada itu, bagi pengguna bukan domestik dalam kategori tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif B dan D), pengguna dalam kategori tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) dan operator air dan pembetungan, surcaj kekal pada kadar 3.70 sen/kWj.

“Pengguna bukan domestik lain, surcaj kekal pada kadar 17 sen/kWj,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, sejumlah 99 peratus atau 8.2 juta pengguna domestik masih menerima subsidi daripada Kerajaan manakala bagi semua pengguna bukan domestik, surcaj yang dikenakan adalah kekal sama.

Jelas ST, berdasarkan kepada penyasaran semula subsidi ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion subsidi kepada kategori-kategori pengguna yang terlibat bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan ini.

“Pengguna boleh merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan.

“Selain itu, pengguna juga boleh menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui laman sesawang https://myelectricitybill.my/.,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI