fbpx

‘Saya hargai bantuan, tetapi RM2,000 mana cukup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sze Han (dua kanan) ketika bertemu dengan penduduk yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong hari ini.

SERDANG – Penduduk yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Puchong di sini merayu kepada kerajaan negeri Selangor untuk mendapatkan bantuan atau pampasan bagi meringankan beban mereka.

Selain itu, penduduk juga menuntut satu pelan yang kukuh termasuk tempoh baik pulih yang munasabah untuk mereka merancang menguruskan kehidupan dan keluarga.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Khoo, 43, berkata, dia dan suaminya buntu kerana dua anak mereka akan memulakan persekolahan pada Januari tahun depan.

“Saya tak tahu hendak buat apa sekarang. Dua anak saya akan menduduki peperiksaan pada Januari nanti, dia tidak boleh ponteng sekolah.

“Sebab itu saya harap, mereka bagi satu tempoh yang munasabah untuk kami rancang buat sementara waktu ini. Yang paling penting adalah keselamatan kami,” katanya ketika ditemui di Taman Wawasan sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khoo berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han dapat memberikan cadangan bantuan atau pampasan untuk mangsa kejadian bencana itu meneruskan hidup.

“Saya hargai bantuan sebanyak RM1,000 daripada beliau dan RM1,000 daripada Ahli Parlimen Subang, Wong Chen tetapi jumlah RM2,000 tidak cukup untuk kami.

“Sekarang sewa rumah perlu kontrak (perjanjian) selama setahun. Kalau siap perabot menelan belanja hampir RM3,000 dan setahun sudah RM36,000.

“Dua daripada empat buah kereta kami sudah rosak (total loss). Sekarang dua buah lagi kereta dalam kawasan rumah dan kami tak boleh bergerak,” ujarnya.

Bagi seorang penduduk, Yap Chee Leong, 44, pula, dia turut menuntut satu tempoh yang munasabah dikeluarkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berhubung kerja-kerja membaik pulih cerun.

“Saya suarakan perkara ini bagi kesemua penduduk di sini. Ini perkara penting kerana ada daripada dalam kalangan penduduk tidak dapat meneruskan perniagaan dan terpaksa bergantung kepada ahli keluarga.

“Jadi, kita mahu tahu sampai bila kita perlu tunggu supaya dapat merancang untuk buat apa dalam waktu terdekat ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI