fbpx

Matlamat kejohanan ragbi akar umbi tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGANJURAN Kejohanan Ragbi Mannol Malaysia Sains Kedah 10's B15 Kebangsaan berjaya mencapai objektif dan tidak mustahil menjadi acara tahunan pada masa depan.

PETALING JAYA – Penganjuran Kejohanan Ragbi Mannol Malaysia Sains Kedah 10 Sebelah (10’s) bawah 15 tahun (B15) Kebangsaan berlangsung baru-baru ini mencapai objektifnya dalam misi mencungkil minat pemain-pemain muda dalam sukan itu.

Pengarah kejohanan, Mohamad Zelman Mohamoud berpandangan kejohanan selama dua hari di Sekolah Mene­ngah Sains Sultan Mohamad Jiwa (SMSSMJ), Sungai Petani, Kedah itu juga menjadi platform terbaik mempromosikan pembangunan ragbi peringkat akar umbi.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana kejohanan berjalan dengan lancar dalam suasana yang meriah seperti ‘pesta’ ragbi. Matlamat kejohanan juga dirasakan tercapai dengan sangat berjaya.

“Pasukan-pasukan kuat dari serata negara bersaing sengit dan pasukan-pasukan pembangunan dan baru turut diraikan. Kesemua 24 pasukan bertanding diberikan pingat atas semangat menghargai penyertaan mereka menimba pengalaman,” katanya.

Zelman yang juga Pengarah Pembangunan Ragbi Sains Kedah (SK) Eagles tidak menolak kemungkinan sedia meneruskan penganjuran sedemikian bagi memastikan pemain-pemain muda terus didedahkan dengan suasana pertandingan di peringkat awal.

BARISAN pemain SMK Jalan Tiga meraikan kejayaan menjuarai kejohanan selepas menewaskan Hosba Dragons pada aksi final baru-baru ini.

“⁠Kejohanan ini amat dibanggakan oleh seluruh warga SMS Sultan Mohamad Jiwa yang dulunya dikenali sebagai Sains Kedah. Ia sempena Jubli Emas sekolah tahun ini.

“Kerjasama antara pihak sekolah, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), alumni, pelajar dan seluruh warga sekolah amat sepakat yang menjadi sebab utama kejayaan penganjuran ini,” jelasnya.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga (Akademi Ragbi Selangor) menjuarai kategori Cup selepas menewaskan Hosba Dragons (Akademi Ragbi Darul Aman) 10-7 dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh sengit.

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) meraih tempat ketiga kategori Cup menewaskan Semashur Zealord 7-0.

Enam lagi kategori dipertandingkan menyaksikan Lunas Lycans A menjuarai Plate; Sekolah Menengah Sains Tapah (Bowl); Sains Kedah Eagles B (Shield); TP WASPS (Spoon) dan Sains Kedah Eagles A (Saucer). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI