fbpx

KPM iltizam martabat bahasa Melayu, tingkat mutu bahasa Inggeris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina

PETALING JAYA – Pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) yang menjadi polemik baru-baru ini merupakan sebahagian daripada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata, berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan DLP KPM tahun 2021 bertarikh 26 November 2020, sekolah yang melaksanakan DLP perlu memastikan agar peluang murid-murid yang lain untuk mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda tidak terjejas.

Beliau juga menegaskan, iltizam Kementerian Pendidikan (KPM) untuk terus berusaha memartabatkan penguasaan bahasa Melayu dan meningkatkan mutu pendidikan bahasa Inggeris.

“Lawatan di lapangan menunjukkan terdapat murid di sekolah yang melaksanakan DLP, tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

“Oleh itu, sekolah yang bersetuju untuk melaksanakan DLP wajib memastikan semua kriteria dipenuhi, termasuklah penguasaan bahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa yang sama katanya, penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular.

“Pengurusan pelaksanaan DLP adalah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing. Pihak sekolah diberikan kebenaran untuk membuka lebih daripada satu kelas DLP bagi murid tahun satu dan tingkatan satu berdasarkan kesediaan sekolah serta penilaian oleh PPD dan JPN.

“Kelulusan pelaksanaan DLP tertakluk kepada keputusan KPM berdasarkan kes-kes setiap sekolah. Pihak KPM mengambil pendekatan manusiawi, iaitu murid-murid kohort sedia ada masih dibenarkan untuk meneruskan kelas DLP,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, sekolah perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi kohort baharu murid tahun satu dan tingkatan satu pada sesi 2024/2025.

“Seterusnya, pihak JPN bertanggungjawab untuk memetakan sekolah menengah penerima (acceptor) bagi memastikan setiap kohort murid dapat meneruskan pembelajaran dalam kelas yang melaksanakan DLP di peringkat menengah.

“KPM akan terus memantau dan memberikan penerangan mengenai pelaksanaan DLP kepada pentadbir sekolah mengikut keperluan,” katanya.

Katanya, KPM juga terbuka kepada cadangan serta keperluan inisiatif lanjut daripada masyarakat termasuklah mengadakan sesi dialog bersama pemegang taruh.

Terdahulu, awal Disember lalu KPM membenarkan pelaksanaan sepenuhnya DLP di lima buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Bukit Nanas (1), SK Bukit Damansara, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda, SJKT Segambut dan SJKT Ladang Edinburgh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI