BULAN ini seperti bom jangka. Hampir setiap hari berlaku kes-kes pembunuhan dalam negara. Puncanya ialah kegagalan menahan perasaan. Pelakunya bagaikan hilang pertimbangan. Rasa amarah, kesumat hingga tidak mampu tertahan, jalan akhirnya adalah mencabut nyawa orang lain.
Bersoal-soal juga penulis apakah kepuasan yang diperoleh pelakunya? Melalui fakta kes yang diberikan polis, semua kes bertitik tolak sifat-sifat manusia.
Cemburu, marah pukul bini hingga mati. Perkataan tikam bertubi-tubi. Beberapa kali dilaporkan di dada-dada akhbar serta media.
Nampaknya semua orang ‘naik hantu’ bulan ini, kesabaran senipis kulit bawang. Nyawa yang hilang sudah tidak dapat diganti.
Tinggallah keluarga yang meratapi ‘kehilangan’. Ini pihak pertama yang dibayangi kesan trauma yang mendalam.
Suspek kes yang dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pula terpaksa mengikuti proses undang-undang. Naik turun mahkamah sehingga kes selesai. Tanpa dibenarkan sebarang ikat jamin.
Dituduh di Mahkamah Majistret tanpa ada pengakuan bersalah atau tidak, dibicarakan pula di Mahkamah Tinggi.
Jika didapati bersalah merayu pula di Mahkamah Rayuan. Jika masih kekal dengan kesalahan naik lagi ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Jika pelaku ada anak kecil, bayangkan membesar tanpa susuk ibu atau bapa. Jika terlepas daripada sabitan Seksyen 302 Kanun Keseksaan pun belum tentu dapat menggantikan masa berharga melihat zuriat membesar di depan mata.
Itu belum lagi ‘gelombang’ emosi ‘terdera’ perlu dilalui keluarga serta orang terdekat dengan pelaku. Sudah semestinya sedikit sebanyak mereka turut sama berdepan trauma.
Bermula 4 Julai lalu, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) akan berkuat kuasa. Ia tidak bermakna tertuduh kes bunuh boleh terlepas hukuman mati. Hukuman gantung masih ada.
Sebaliknya pemansuhan itu memberi ruang kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman sama ada hukuman mati atau pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun.
Sekiranya pesalah tidak dijatuhkan hukuman mati, dia berdepan dengan hukuman sebatan tidak kurang 12 kali.
Itu belum lagi berkait kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan public interest atau kepentingan awam. Terdapat hakim-hakim yang menggunakan faktor tersebut sebagai pemberat dalam menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.
Ketika kecil kita sudah dititipkan dengan pesanan Nabi Muhammad SAW, antaranya duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk ketika jiwa sedang membara.
Mengambil wuduk, diam. Betapa besar kesannya jika kita hilang pedoman atau kewarasan akal akibat marah.
Doa penulis untuk 2023 yang berbaki 10 hari sahaja lagi ini adalah semoga keadilan buat mangsa-mangsa terlibat ditegakkan.














