fbpx

Penduduk bumiputera kurang minat jadi peguam, arkitek, akauntan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir (gambar kecil) memberitahu penglibatan golongan Bumiputera dalam bidang peguam, arkitek dan akauntan masih rendah iaitu di bawah 50 peratus. - GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Penglibatan golongan bumiputera yang bekerja sebagai peguam, arkitek dan akauntan masih di tahap rendah apabila masing-masing mencatatkan penyertaan di bawah 50 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, penyertaan dalam profesional terpilih menunjukkan bumiputera menyumbang 92.7 peratus dan 83.8 peratus daripada jumlah bekerja sebagai penolong pegawai perubatan serta jururawat pada tahun 2022.

“Sementara itu, bumiputera menyumbang 60.8 peratus juruukur tanah, 61.5 peratus juruukur bahan, 52.8 peratus doktor gigi dan 52.7 peratus pereka dalaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd. Uzir, statistik tersebut melibatkan bidang sosial dan ekonomi di peringkat nasional dan negeri untuk tahun rujukan 2015 hingga 2023.

“Ia merangkumi statistik dalam bidang sosial dan ekonomi antaranya penduduk, guna tenaga, pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, kesihatan, pelancongan, profesion berdaftar dan harta tanah,” ujarnya.

Tambah beliau, jumlah penduduk bumiputera pada tahun ini merangkumi 63.9 peratus iaitu 21.3 juta orang daripada 33.4 juta penduduk di Malaysia.

“Sementara itu, sumbangan penduduk bukan bumiputera dan bukan warganegara masing-masing adalah 27.2 peratus dan 8.9 peratus.

“Penduduk bumiputera lelaki dianggarkan seramai 10.8 juta orang, manakala perempuan seramai 10.5 juta orang,” katanya.

Dari segi perangkaan demografi, Mohd. Uzir menjelaskan bahawa bilangan kelahiran hidup bagi penduduk bumiputera pada 2022 adalah 344,281 orang.

Katanya lagi, jangkaan hayat bagi bumiputera ketika lahir pada 2023 adalah 71.5 tahun bagi lelaki dan 76.3 tahun bagi perempuan.

“Sementara itu, kadar kesuburan jumlah bagi seorang wanita bumiputera pada 2022 adalah 2.0 (2021: 2.1),” ujarnya.

Dari segi kebajikan pula, beliau menjelaskan bilangan bumiputera yang berdaftar di Institusi Kebajikan Am di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2022 adalah seramai 2,714 orang berbanding 2,948 orang tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, 1,096 orang di Institusi Kanak-Kanak, 637 orang di Institusi Orang Kurang Upaya dan 981 orang di Institusi Warga Emas dan Orang Papa – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI