DI kawasan pergunungan Black Hills, negeri Dakota Selatan, Amerika Syarikat, terdapat suatu tapak ketenteraan yang dahulunya lokasi penyimpanan bom dan bahan letupan dari tahun 1942 sehingga 1967.
Tapak tersebut kini sudah pun diubah suai menjadi kubu bawah tanah (bunkers) yang boleh dijadikan sebagai tempat tinggal bagi mereka yang berhasrat untuk melindungi diri daripada ‘hari kiamat’.
Ia kini sudah dibuka untuk tempahan buat mereka yang mahukan tempat perlindungan seandainya dunia menjadi kacau-bilau.
Projek kubu itu yang juga mendapat jolokan sebagai ‘projek survival kemanusiaan epik’ adalah milik satu projek kemanusiaan bernama Vivos.
Memetik laporan akhbar The Sun, Pengarah Eksekutif Vivos, Dante Vicino berkata, projek tersebut kini sudah pun sedia untuk apa sahaja kekacauan yang akan berlaku di dunia kelak.
Kongsi Vicino, mereka yang berminat terhadap projeknya itu bukan hanya golongan elit yang kaya-raya, malah orang biasa yang terpelajar dan cakna tentang masalah yang sedang melanda dunia kini turut berminat dengan projek tersebut kerana mereka mahu melindungi diri serta ahli keluarga daripada ‘hari kiamat’.
“Profil ekonomi ahli kami juga berbeza-beza, daripada kelas pertengahan sehinggalah kelas atasan.
“Vivos merupakan pelan B untuk melindungi diri sekiranya apa-apa berlaku kepada dunia.
“Ketika orang lain berebut-rebut mencari penyelesaian, ahli-ahli Vivos ini akan pergi ke tempat perlindungan yang ditetapkan untuk mereka dan bersedia untuk bersembunyi daripada apa sahaja ancaman yang sedang berlaku di atas muka bumi,” katanya.

Sama seperti sebuah bandar penempatan, bunker Vivos yang serba moden dilengkapi semua keperluan untuk berlindung termasuk sebuah pawagam, gimnasium dan juga sangkar untuk haiwan.
Menerusi beberapa foto di internet, ruang rehat kubu tersebut dilengkapi sofa, permaidani dan meja kopi, manakala bahagian dapur dilengkapi peti sejuk, ketuhar dan mesin basuh.
Bagi bilik tidur dan tandas pula, ahli Vivos boleh memilih daripada empat jenis bilik tidur dan tandas dengan setiap satunya boleh memuatkan sehingga 10 orang.
Penempatan itu juga dilaporkan dilengkapi sistem operasi autonomi selama sekurang-kurangnya setahun, tanpa memerlukan penghuninya untuk kembali ke atas permukaan bumi.
Kongsi Vicino, pembinaan kompleks kubu bawah tanah itu lazimnya mengambil masa antara sembilan hingga 12 bulan bergantung kepada skala, bahan binaan serta tenaga kerja.
Jelasnya lagi, situasi yang sedang berlaku di dunia telah menambah minat orang ramai terhadap projeknya itu.
“Orang ramai beranggapan bahawa Perang Dunia Ketiga mungkin akan meletus, selepas melihat situasi Russia dan Ukraine dan kini di Asia Barat.
“Kita ketika ini sedang hidup dalam tempoh genting, menjadikan keperluan mempunyai penyelesaian perlindungan jaminan hayat satu kemestian buat mereka yang ingin bertahan,” katanya.

Kubu di Amerika Syarikat itu dikenali sebagai Vivos XPoint dan difahamkan syarikat itu turut membina satu lagi penempatan dinamakan Vivos Europa di kawasan pergunungan di Jerman.
Permohonan untuk menjadi ahli Vivos bermula AS$35,000 (RM163,537) seorang dan diskaun besar akan diberikan kepada mereka yang mempunyai kemahiran survival penting.
Sementara itu, Charles Hardman yang merupakan pengarah sebuah syarikat reka bentuk kubu dan ruang bawah tanah dari Britain, Subterranean Spaces berkata, minat terhadap kubu penempatan timbul sejak tercetusnya perang Russia-Ukraine.
“Sejak hari pertama perang itu tercetus, telefon saya tidak henti berdering. Konflik tersebut telah menambah kebimbangan penduduk Eropah yang khuatir dengan ancaman perang nuklear.
“Segelintir mereka kemudiannya mula menyiasat kemungkinan untuk membina sebuah tempat perlindungan mereka sendiri atau menyewa bekas tapak kemudahan kerajaan untuk berlindung,” katanya.
Biarpun dengan semua kelengkapan serba canggih yang sedang dibina itu, penulis buku Survival of the Richest: Escape Fantasies of the Tech Billionaires, Douglas Rushkoff pula kurang yakin penempatan sedemikian mampu untuk bertahan daripada kehancuran bumi yang sebenar.
“Realitinya, kebarangkalian bunker untuk melindungi penghuninya daripada kacau-bilau dunia sebenarnya adalah sangat tipis.
“Sebagai contoh, ekosistem di kawasan bawah tanah itu sendiri adalah amat rapuh. Malah, perkara yang tidak diketahui seperti tahap kerosakan dan kehancuran pada hari kiamat sudah cukup untuk memusnahkan harapan yang ada untuk terus bertahan dan hidup,” katanya.














