fbpx

Bangsar, Cyberjaya jadi pilihan pencari kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu projek hartanah yang dibangunkan di Cyberjaya yang mendapat tumpuan pencari kediaman kerana terletak berdekatan dengan pelbagai kemudahan, pusat pengajian tinggi dan rekreasi.

PETALING JAYA – Terdapat perubahan ketara dalam pilihan pembelian rumah pada tahun ini ekoran lebih ramai majikan melaksanakan aturan kembali ke pejabat dan terdapat pelbagai tarikan tinggal di bandar.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, berdasarkan data ca­rian tahun 2023, hartanah bandar menawarkan beberapa kelebihan kepada mereka yang bekerja di pejabat seperti ketersambungan yang sangat baik dan akses mudah ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam yang menjimatkan masa perjalanan.

Menurut beliau, kawasan bandar juga sering menjadi pusat aktiviti dengan menawarkan pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah, restoran dan kemudahan rekreasi.

“Gabungan faktor ini menjadikan kehidupan bandar sangat sesuai untuk golongan profesio­nal yang bekerja di pejabat dan trend ini menekankan daya tahan dan kebolehsuaian pasaran hartanah.

“Seiring dengan pasaran hartanah yang terus berkembang, pemaju menyesuaikan strategi mereka untuk memenuhi pilihan pembeli rumah yang berubah-ubah.

“Pembangunan bercampur yang menggabungkan aspek kediaman, komersial dan rekreasi kini adalah pilihan perancangan oleh beberapa pemaju.

“ Kami tidak sabar untuk melihat bagaimana trend ini terus berinovasi pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Antara lokasi popular yang dicari untuk kediaman adalah Cyberjaya diikuti oleh Bangsar yang mana transaksi paling tinggi terdapat di Bangsar Baru, Bukit Bandaraya dan Lucky Garden (Jalan Bangsar).

Pilihan lain adalah Subang Jaya yang menawarkan ketersambungan lebuh raya yang luar biasa kerana ia terletak berdekatan dengan daerah-daerah utama Lembah Klang, Damansara Utama, Bandar Utama, Kota Damansara dan Mutiara Damansara.

Sementara itu, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan pusat bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) juga menjadi pilihan pencari kediaman tahun ini.

Ia diikuti dengan lokasi popular di Bukit Jalil yang mendapat perhatian sebagai kawasan pinggir bandar mewah yang menempatkan banyak kemudahan sukan dan teknologi seperti
Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dan Taman Teknologi Malaysia. Ia juga menjadi tuan
rumah kepada syarikat teknologi lain seperti MIMOS, SIRIM, IRIS Corp Bhd, Astro dan
banyak lagi.

Puchong dan Cheras juga menjadi pilihan kerana ia terletak di kawasan strategik dengan kemudahan pusat beli-belah, serta mendapat manfaat daripada jaringan lebuh raya utama.

Selain itu, jumlah transaksi hartanah di Johor Bahru juga semakin meningkat, kerana pencari hartanah
memburu tawaran sebelum pembukaan sistem transit pantas (RTS) Johor Bahru-Singapura,
yang dijangka siap pada akhir tahun 2026.

Tiga hartanah yang paling banyak diurus niaga di Johor Bahru adalah Taman Johor Jaya,
Country Garden Danga Bay dan Taman Pelangi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI