fbpx

Konflik Palestin-Israel: Zionis ‘tanam’ pesakit cedera hidup-hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki mendapatkan rawatan selepas terkena serangan askar Israel di Hospital Kamal Adwan pada 22 November lalu. - AFP

BANDAR GAZA – Askar Israel menggempur dan memusnahkan sebahagian Hospital Kamal Adwan di utara Gaza menggunakan jentolak sebelum membiarkan berpuluh-puluh pelarian yang cedera tertimbus hidup-hidup dalam satu tindakan kejam terbaharu ke atas penduduk wilayah Palestin itu, lapor laman berita The New Arab.

Berdasarkan sebuah video yang dikongsikan wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif, kawasan pekarangan hospital di Beit Lahia yang menempatkan banyak khemah pelarian diranapkan oleh jentolak askar Rejim Zionis sebelum orang ramai sempat melarikan diri.

Dalam video tersebut, Anas yang kelihatan beremosi berkata, askar Israel telah berundur selepas melakukan perbuatan keji berkenaan.

Video itu kemudian memaparkan keadaan kawasan pekarangan yang musnah, dengan tanah dan batu-bata menjadi timbunan ketika bahagian bawahnya dipenuhi mayat beberapa penduduk.

“Ini adalah jenayah yang dilakukan askar Israel di pekarangan Hospital Kamal Adwan.

“Ini pula adalah mayat seorang pelarian yang mendapatkan rawatan di hospital. Jentolak askar Israel telah menggilisnya,” kata Anas sambil menunjukkan keadaan di sekeliling.

Video rakamannya kemudian dialihkan kepada kawasan runtuhan lain, yang menunjukkan lebih banyak serpihan bangunan termasuk cebisan badan manusia.

“Berpuluh-puluh pelarian, pesakit dan mereka yang cedera dibiar tertimbus hidup-hidup. Askar penceroboh (Israel) menggunakan jentolak untuk meranapkan khemah didiami pelarian di pekarangan hospital dan menggilis mereka dengan kejam,” katanya.

Menurut beberapa saksi, terdapat berpuluh-puluh orang berlindung di pekarangan hospital berkenaan ketika serangan dilakukan.

“Namun, mereka kini berada di bawah runtuhan,” ujar Anas.

Angka kematian sebenar tidak dinyatakan, namun Anas menjelaskan bahawa dia hanya sempat merakam sebahagian daripada kemusnahan di Hospital Kamal Adwan.

Kereta kebal Israel telah mengepung hospital tersebut sejak hampir dua minggu lalu dengan penembak tepat mengambil kedudukan di bangunan sekitar dan menembak sesiapa sahaja yang lalu-lalang, demikian menurut kumpulan Pemantauan Euro-Mediterranean untuk Hak Asasi Manusia.

Susulan laporan tersebut, pihak berkuasa Palestin mendesak agar siasatan segera dilakukan berhubung laporan berkenaan.

“Maklumat daripada penduduk, kakitangan perubatan dan pengamal media menunjukkan askar Israel menanam orang  awam secara hidup-hidup di pekarangan Hospital Kamal Adwan.

“Ada antara mereka dilihat masih hidup ketika dikepung askar Israel.

“Dunia perlu mengambil tindakan serius bagi mengenal pasti butiran mengenai insiden ini. Anda tidak seharusnya berdiam diri atau bertolak ansur dengan kekejaman di Semenanjung Gaza,” kata Menteri Kesihatan Palestin, Mai Al Kaila.

Tambah Mai, askar Israel dengan sengaja mengusir mereka yang cedera dari Hospital Kamal Adwan ke kawasan terbuka dalam cuaca yang sangat sejuk, menyerang kakitangan perubatan serta menimbulkan ancaman serius kepada pesakit.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Palestin turut menuntut siasatan antarabangsa segera dilakukan terhadap laporan awal bagi jenayah kejam dan ngeri itu. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI