Tatkala melangkah masuk ke Depoh Operasi Pembersihan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), kehadiran penulis disambut sepasang burung kakak tua dan burung kasawari di pintu utama.
Sekilas pandang, haiwan itu kelihatan begitu hidup dan realistik sekali, namun jika diamati, arca hiasan terbabit sebenarnya diperbuat daripada bahan-bahan terbuang.
Selain ‘haiwan peliharaan’, pekarangan depoh turut dipenuhi pelbagai replika motosikal, rak, pasu dan hiasan landskap termasuklah set kerusi meja yang dihasilkan menggunakan tayar terbuang dan tong dram.
Beralih ke bengkel yang terletak di bahagian belakang depoh, lebih sepuluh kakitangan yang terdiri daripada pasukan Unit Upcycle MBSP tekun melaksanakan tugas masing-masing.
Mandor Kanan Bahagian Perancangan Strategik Unit Upcycle dan Pengindahan MBSP, Azizul Abdul Rahim, 39, berkata, senario itu adalah rutin harian yang dilakukan pasukan terbabit sejak unit terbabit ditubuhkan pada tiga tahun lalu.
Katanya, sehingga kini lebih 70 produk sudah dihasilkan menggunakan tayar, tong dram, botol sabun pencuci, kayu palet dan tin terbuang.
“Barangan terbuang ini diperolehi daripada orang persendirian, kilang-kilang, tempat pembuangan sampah, bengkel tayar dan pusat servis kenderaan.
“Kita akan ambil semua bahan terbuang ini dan timbang untuk mengetahui berapa banyak jumlah pembuangan sampah yang dapat dikurangkan di tapak pelupusan sampah Pulau Burung.
“Kemudiannya, kita akan garap idea dan untuk mentransformasi bahan-bahan ini menjadi hasil kraf tangan dan perhiasan yang akan dijual kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui di Taman Bertam Indah, Kepala Batas baru-baru ini.
Ternyata usaha yang dilakukan ini merupakan satu pendekatan menarik yang dapat mengatasi permasalahan sampah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, produk yang dihasilkan akan dijual serendah RM3 sehingga RM1,000.
“Setakat ini, kebanyakan perhiasan landskap dan set kerusi meja ditempah agensi kerajaan dan pihak sekolah.
“Selalunya, tempahan dapat disiapkan dalam tempoh seminggu memandangkan setiap produk perlu dihasilkan dengan teliti, manakala corak di bahagian luarannya dibuat secara handmade.

“Segala logo atau corak yang dihasilkan mengikut permintaan akan dilukis dan diwarna pelukis berpengalaman unit ini,” katanya.
Tambahnya, pasukan terbabit akan mengadakan sesi brainstorming sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk berkongsi idea baharu sekali gus melakukan penambahbaikan produk sedia ada.
“Masing-masing memiliki kemahiran tersendiri dan mereka turut akan dihantar mengikuti latihan mahupun bengkel secara berkala untuk memperhebat skil yang ada.
“Selain itu, cetusan idea produk turut dikongsikan oleh pihak atasan yang berkunjung ke luar negara untuk lawatan kerja. Menerusi cara ini, kepelbagaian produk yang dihasilkan akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.
Azizul berkata, pasukannya turut bertanggungjawab mengindahkan kawasan rekreasi, malah beberapa tapak sampah haram turut berubah wajah apabila dijadikan landskap indah menggunakan bahan-bahan terbuang.
“Kita mahu mengelakkan masyarakat daripada membuang sampah di tempat sama, justeru kita letakkan produk yang dihasilkan sekali gus mengindahkan kawasan persekitaran.
“Lebih 20 lokasi telah diperindah setakat ini sekali gus mengurangkan tapak pembuangan sampah haram di sekitar negeri ini,” katanya.
Katanya, pihaknya tidak tertumpu terhadap usaha pembuatan produk ‘upcycle’ semata-mata, malah aktif menjalankan aktiviti pameran dan siri ceramah di sekolah-sekolah bagi meningkatkan kesedaran umum.
“Kita turut membimbing dan berkongsi tip bersama para pelajar yang menyertai pertandingan reka cipta bahan kitar semula.
“Usaha ini bukan sahaja menerapkan elemen inovasi melalui penghasilan produk baharu daripada barang terpakai, malah mengasah kreativiti pelajar sekolah,” katanya.














