fbpx

Konflik Palestin-Israel: PBB kecam askar Zionis cemarkan masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
.ASKAR Israel memasuki sebuah masjid dengan memakai kasut butnya di Jenin baru-baru ini. - Foto Sky News

NEW YORK – Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk perbuatan mencemarkan lokasi keagamaan selepas klip video yang tular di media sosial menunjukkan askar Israel melakukan ritual Yahudi di dalam sebuah masjid di bandar Jenin, Tebing Barat, lapor portal berita The Palestine Chronicle kelmarin.

“Perbuatan mencemarkan tempat keagamaan tidak boleh diterima. Ia jelas bertentangan dengan adat sopan dan kesusilaan.

“Lokasi keagamaan perlu dihormati dan tidak boleh dicemari walau apapun alasannya,” kata Stephane Dujarric yang merupakan jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres

Beliau berkata demikian selepas Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir berkongsi rakaman video askar-askar Israel melakukan ritual Yahudi di dalam sebuah masjid di Jenin, baru-baru ini.

Askar Israel itu juga berjalan di dalam masjid dengan memakai but tentera.

Anggota tentera itu turut berkata dengan nada sinis: “Dengan nama Tuhan. Inilah jurucakap tentera Israel.”

Namun, askar tersebut dilaporkan telah dikenakan tindakan disiplin.

Dalam perkembangan berkaitan, pejuang Palestin yang mana ramai dalam kalangan mereka pemuda tempatan, berterusan menentang tentera Israel yang telah membunuh dan mencederakan beratus-ratus penduduk awam di kem pelarian Jenin sejak awal tahun ini.

Berdasarkan Protokol Tambahan I Konvensyen Geneva, Artikel 53, pihak yang berperang dilarang melakukan apa-apa tindakan permusuhan terhadap monumen bersejarah, karya seni atau tempat ibadat yang membentuk warisan budaya atau ­kerohanian orang ramai.

Konvesyen itu juga melarang entiti sedemikian digunakan untuk menyokong usaha ketente­raan atau menjadikannya sebagai tempat untuk melancarkan serangan.

Dalam pada itu, Turkiye menyelar perbuatan askar-askar Israel dan menyifatkannya sebagai provokasi.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya provokasi askar-askar Israel yang menyerbu Kem Pelarian Jenin dan tidak menghormati kesucian tempat ibadat dengan memasuki masjid,” kata jurucakap Kementerian luar Turkiye, Oncu Keceli di laman X.

Ankara juga menyeru supaya pelaku dihukum dan Israel menghentikan keganasan peneroka haram Yahudi.

“Di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat, di mana ­situasi sangat tegang akibat keganasan pe­neroka haram Yahudi dan tekanan serta serangan oleh pasukan keselamatan Israel terhadap rakyat Palestin, kami mahu serangan ke atas tempat suci umat Islam ditamatkan serta-merta dan mereka yang melakukan

provokasi ini dihukum dengan cara paling berat,” tambah Keceli.

Kerajaan Palestin juga mengecam serangan Israel ke atas Jenin sebagai peningkatan keganasan yang berbahaya dan memberi amaran bahawa tindakan mencemarkan masjid oleh askar Rejim Zionis menyebabkan berlakunya ketegangan agama.

Serbuan ke atas Jenin yang bermula pada Selasa lalu, merupakan pencerobohan kali ke-15 Rejim Zionis di wilayah Tebing Barat yang dijajahnya sejak Tel Aviv melancarkan perang ke atas Semenanjung Gaza pada 7 Oktober lalu.

Pihak berkuasa Palestin berkata, 12 orang terbunuh semasa serbuan itu.

Rejim Zionis mengisytiharkan perang ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu selepas Hamas melancarkan Operasi Taufan al-Aqsa secara mengejut terhadap Israel sebagai tindak balas terhadap kempen pertumpahan darah dan kemusnahan selama berdekad-dekad Tel Aviv ke atas rakyat Palestin.

Sejak perang bermula, Israel telah membunuh hampir 19,000 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dan wanita serta mencederakan lebih 50,000 yang lain.

Beribu-ribu lagi penduduk Palestin hilang dan dianggap terkorban di bawah runtuhan bangunan di Gaza. Wilayah Palestin itu dikepung sepenuhnya dan berterusan digempur oleh tentera Israel. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI