fbpx

Mangsa Sungai Kim Kim sedia selesai saman di luar mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUDDIN (duduk tengah) bergambar bersama sebahagian mangsa pencemaran Sungai Kim Kim di Bandar Seri Alam, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Mangsa pencemaran Sungai Kim Kim sedia pertimbang kaedah penyelesaian saman berjumlah RM30 juta di luar mahkamah memandangkan kes tersebut berlarutan selama lima tahun.

Peguam yang mewakili 42 plaintif, Datuk Kamarudin Ahmad berkata, perbicaraan kes itu akan bersambung pada 22 Januari 2024 setelah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, anak guamnya terdiri daripada orang awam serta murid dan pelajar yang terjejas secara langsung dalam insiden tersebut.

“Setelah perbincangan dibuat bersama mangsa, kita setuju untuk pertimbang langkah penyelesaian luar mahkamah dengan mengambil kira pemotongan jumlah tuntutan.

“Perkara itu bagaimanapun akan dibincangkan lebih lanjut bersama pihak defendan. Kita mengalu-alukan agar kes ini tidak perlu melalui tempoh perbicaraan panjang,” katanya pada sidang akhbar di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Tambah Kamarudin, defendan dalam kes ini melibatkan 12 pihak termasuk kerajaan negeri, Menteri Besar Johor, pengerusi jawatankuasa kesihatan negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

“Saya juga bercadang untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan menyeluruh ke atas semua mangsa bagi melihat sama ada mereka mengalami kesan kesihatan jangka panjang.

“Perbicaraan kes ini akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. Kita yakin dapat memperoleh kemenangan apatah lagi mengambil kira perkembangan terbaharu yang mana kilang dan pemandu lori mengaku bersalah,” ujarnya.

Kamarudin yang mewakili Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik bertindak menyaman kesemua defendan di Mahkamah Tinggi di sini pada 17 Julai 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI