fbpx

KPT kenal pasti universiti hadapi masalah penginapan pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry beramah mesra dengan pelajar Kampus Sultan Azlah Shah, ketika lawatan kerja ke kolej kediaman Kampus Sultan Azlah Shah, UPSI Tanjung Malim. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

TANJUNG MALIM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengenal pasti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini yang berhadapan masalah ketidakcukupan penginapan untuk pelajar.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, langkah tersebut diambil bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti universiti yang memerlukan penyelesaian segera berkaitan masalah berkenaan.

“Isu (kekurangan penginapan pelajar) ini dihadapi banyak IPTA. Antara langkah penyelesaian yang sedang diambil ialah mengadakan perbincangan dengan pengurusan universiti yang memerlukan keperluan tersebut.

“Saya juga telah berbincang dengan pengurusan tertinggi kementerian, supaya kita kenal pasti universiti yang memerlukan penyelesaian segera.

“Setakat ini, saya dimaklumkan terdapat beberapa universiti yang memerlukan tindakan bagi menyelesaikan masalah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kolej kediaman di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Proton City di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan sememangnya prihatin dengan masalah yang dihadapi pelajar untuk mendapatkan rumah atau bilik penginapan ekoran kadar sewa yang tinggi.

“Keprihatin kerajaan adalah untuk mengurangkan bebanan pelajar disebabkan kos sara hidup yang tinggi, kadar sewa yang tinggi dan jumlah rumah sewa yang terhad di sesebuah kawasan.

“Perkara ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau prihatin dengan masalah yang dihadapi pelajar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan kerjanya ke UPSI, Zambry berkata, pihak pengurusan universiti itu telah mengambil langkah proaktif dengan menambah bilangan penginapan pelajar di kolej kediaman kampus berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI