fbpx

Tiga beranak nyaris cedera, pagar runtuh hempap dapur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norsilawati menunjukkan keadaan dapur rumahnya di Kampung Baru Kuala Nal, Kuala Krai selepas dihempap pagar konkrit semasa hujan lebat semalam. -Foto ROSMIZAN RESDI

KUALA KRAI – Tiga beranak di Kampung Baru Kuala Nal, di sini terselamat selepas pagar konkrit sepanjang 20 meter (m) dan setinggi 2.4m menghempap dapur rumah sewaktu hujan lebat semalam.

Norsilawati Bidi, 46, berkata, ketika kejadian pukul 12 tengah hari itu, dia berada di dapur sedang membuat persiapan memasak sebelum pergi ke ruang lain bagi mengambil pakaian kotor untuk dibasuh.

Menurutnya, beberapa saat selepas itu, dia terdengar bunyi dentuman menyebabkan anaknya, Mohd. Thaqif Zainal Alam, 16, terjaga daripada tidur dan melihat pagar konkrit rumah jiran menghempap dapurnya.

“Saya sangat terkejut dan takut kerana runtuhan itu berlaku di depan mata sebelum memanggil suami (Zainal Alam Abdullah) yang berada di luar rumah.

“Kejadian itu menyebabkan bahagian dapur, tandas dan bilik tidur rosak teruk,” katanya ketika ditemui hari ini.

Norsilawati memberitahu, ekoran kejadian itu, dia tidak dapat melelapkan mata malam tadi kerana bimbang berlaku runtuhan sekali lagi memandangkan masih hujan.

Dalam pada itu, Zainal Alam berkata, ketika kejadian dia berada di bahagian garaj dan segera masuk ke dalam rumah selepas terdengar jeritan isterinya.

“Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan kami rugi RM30,000, malah ketakutan kerana bimbang berlaku runtuhan lagi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, Pegawai Kanan Bomba II Juniman Junoh berkata, lapan anggota segera ke lokasi bagi memantau keadaan pergerakan tanah selepas menerima laporan berkaitan kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI