Bakal tamat zaman bujang, Noki buang rantai di leher
Oleh MUHAMMAD HAIKAL RAMLI
15 Disember 2023, 8:15 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUDAHmenjadi lumrah hidup sesiapa sahaja yang belum berumah tangga, selagi masih berstatus bujang, selagi itulah akan terus dihujani persoalan berkaitan jodoh.
Itu situasi sering didepani Noki atau nama sebenarnya, Ahmad Ikhwan Aji sehingga hari ini apabila masih solo meskipun boleh dikatakan sudah lebih daripada ‘mampu’ mendirikan masjid.
Bukan tidak memikirkan ke arah itu, bahkan rasa cemburu melihat ramai teman rapat sudah berkeluarga membuatkan Noki tidak sabar bergelar suami, menjelang tahun hadapan.
Intim dengan pelakon baharu
Pada usia 29 tahun, Noki mengakui, sedang dalam fasa mengenali hati budi seorang wanita yang juga seorang penggiat seni.
“Saya memang ada sasaran nak kahwin pada usia 25 tahun. Bila tengok kebanyakan kawan rapat termasuk anggota K-Clique berkeluarga, saya pun teringin nikmati bahagia macam mereka.
“Tapi sasaran dah terlepas, jadi saya tukar rancangan itu sebelum umur 35 tahun. Cuma, buat masa ini antara saya dan si dia baru saja berkenalan.
“Kalau nak kata ke fasa lebih serius itu memang ada kerana saya rancang berkahwin tahun depan, namun itu sekadar perancangan. Doakan kami,” katanya kepada HibGlam.
MAHU seimbangkan karier nyanyian dan lakonan, Noki mengakui ingin fokus bidang nyanyian terlebih dahulu, namun pada masa sama tidak menolak untuk terus berlakon jika diberi peluang dan watak yang sesuai. – ARKIB MEDIA MULIA
Berkongsi lanjut mengenai wanita yang kini bertakhta di hati, lelaki asal Sabah itu memberitahu, mereka serasi kerana berada dalam bidang yang sama.
“Dia juga orang seni, baru bina kerjaya sebagai pelakon. Kami sekepala dan mungkin kerana itu mudah serasi.
“Setakat ini hubungan kami baik-baik sahaja, tiada apa-apa perancangan lagi, kita ikut sahaja ketentuan Allah.
“Bukannya saya enggan memperkenalkan dirinya kepada umum, tetapi semua masih terlalu awal dan buat masa ini biarlah saya sahaja yang tahu,” katanya tersenyum.
Ingin perbaiki diri
Nekad mahu berubah ke arah yang lebih baik sebelum menamatkan zaman bujang, Noki juga mengakui dalam proses memperbaiki diri duniawi dan ukhrawi.
Bagaimanapun, penyanyi bertubuh kekar itu menegaskan, dia hanya manusia biasa yang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan dan meminta orang ramai tidak terlalu menghakiminya.
“Bila ada niat mahu berkahwin, saya fikir diri saya juga kena diperbetulkan dari segenap aspek sebab nanti mahu jadi suami dan bapa yang terbaik untuk keluarga kecil saya.
“Sebelum ini saya ada terfikir, apa yang saya minta, semua Allah makbulkan, tetapi kenapa saya tidak boleh amalkan apa yang Allah suruh.
PERNAH menyertai sebuah kumpulan tabligh, banyak ilmu agama dan pengalaman menarik diraih Noki yang sedikit sebanyak membantunya sedar tujuan hidup sebagai manusia.
“Jadi hari demi hari saya berusaha untuk jadi individu lebih baik, alhamdulillah saya sudah dapat jaga solat dan cuba sedikit demi sedikit ubah penampilan termasuk buang rantai dan gelang,” ujarnya panjang lebar.
Paling utama kata Noki, alasan dia mahu menyeimbangkan kehidupan duniawi dan akhirat, bukan mahu berlagak alim tetapi enggan membiarkan diri leka dengan keseronokan dunia yang hanya sementara.
Dalam masa sama, jejaka bermata sepet itu juga mendedahkan, sebelum menceburkan diri dalam dunia hiburan, dia pernah terlibat dalam aktiviti kumpulan tabligh selama dua tahun di Sabah.
“Dulu saya pernah ikut kumpulan tabligh mengunjungi masjid-masjid di sana dan berdakwah meskipun ada kalanya perlu berdepan pelbagai rintangan.
“Kami akan keluar setiap bulan selama tiga hari. Ada tempat yang kami pergi tiada bekalan air dan elektrik.
“Dari situ banyak juga yang saya pelajari, saya dapat banyak ilmu agama dan pengalaman semasa menyertai aktiviti berkumpulan, usrah dan sebagainya,” jelasnya.
Enggan berlama-lama larut dalam perihal cinta dan muhasabah diri, bintang filem War On Terror itu memberitahu mahu lebih fokus terhadap nyanyian.
Fokus bidang nyanyian
Kata lelaki tinggi lampai itu, setakat ini, dia berhasrat untuk kembali memberi perhatian kepada karier nyanyiannya termasuk bersama kumpulan K-Clique, tetapi dalam masa sama masih mahu terus berlakon.
“Dua-dua bidang (lakonan dan nyanyian) saya suka.
INTIM dengan seorang pelakon baharu, Noki memilih untuk menyimpan kemas identiti hubungan mereka kerana baginya masih terlalu awal dan tidak mahu menimbulkan sebarang kekalutan pada kemudian hari.
“Cuma sekarang saya mahu fokus menyanyi dulu, saya rasa lama sudah saya tidak keluar lagu solo, mungkin ini saatnya untuk saya fokus nyanyi dulu.
“Tapi saya tidaklah menolak terus tawaran memandangkan saya sudah pun masuk dalam bidang ini, kalau ada tawaran menarik, saya sedia mempertimbangkan.
“Saya masuk industri dengan nyanyian, peminat pun ramai yang bertanya bila mahu keluarkan lagu solo. Jadi, eloklah saya fokuskan apa yang paling saya minat dan layan permintaan peminat terlebih dahulu,” jelasnya.
Mengakui setiap bidang mempunyai cabaran tersendiri, Noki juga masih dalam usaha mencari titik keseimbangan antara dunia nyanyian dan lakonan.
“Susah nak seimbangkan karier dalam dua bidang dan saya masih mencari keseimbangan itu, keduanya memberi kepuasan yang berbeza kepada saya.
“Namun, saya percaya masa akan mematangkan segalanya, banyak lagi bidang saya ingin ceburi, namun seperti yang saya katakan, nyanyian adalah fokus paling utama,” ujarnya menutup bicara.