PADA minggu lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kes kematian tragis yang menimpa kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Siapa sangka hebahan kes kehilangan kanak-kanak berusia enam tahun itu dalam media sosial berakhir dengan penemuan mayat mangsa di kawasan anak sungai kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Damansara Damai, Petaling Jaya pada malam 6 Disember lalu.
Sejak kebelakangan ini, setiap hari sekurang-kurangnya satu kes bunuh dilaporkan berlaku memberi gambaran seolah-olah nyawa manusia seperti sudah tiada nilainya.
Kejadian pembunuhan yang berlaku bukan hanya melibatkan suspek dan mangsa adalah kenalan, suami isteri atau kekasih, malah mereka yang mempunyai pertalian darah.
Tatkala ramai dalam kalangan kita memberi perhatian terhadap kes Zayn Rayyan, kematian sepasang suami isteri warga emas di Kampung Sungai Penchala bagai menambah lara di hati rakyat Malaysia.
Mereka ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dipercayai angkara perbuatan kejam anak yang khayal dadah. Akibat pengambilan barang terlarang tersebut, nyawa ibu bapa sendiri melayang.
Pengambilan dadah bukan sahaja boleh menyebabkan ketagihan, malah jauh lebih teruk seseorang itu boleh hilang pertimbangan dan sakit mental.
Jika dilihat, suspek yang ditangkap berhubung kes ragut, samun, rompakan, rogol dan penderaan rata-rata mereka adalah penagih dadah.
Manusia yang berfikiran waras tidak akan melakukan jenayah menggunakan senjata.
Individu yang terjebak dadah ini bukan hanya golongan bawahan dan middle income group, malah mereka dalam kumpulan profesional juga gian dadah.
Jika tidak ditangani, generasi kita akan rosak dan negara juga menuju ke arah kehancuran. Yang menjadi mangsa adalah masyarakat yang tidak berdosa.
Dalam menangani kes penyalahgunaan dadah, bukan hanya pihak berkuasa semata-mata perlu bertindak, orang sekeliling iaitu keluarga perlu memainkan peranan utama.
Ibu bapa dan adik-beradik harus bertindak jika ada ahli keluarga terjebak najis dadah. Malangnya tidak ramai yang berani berbuat demikian, malah ada satu kes ibu bapa sanggup membelikan dadah untuk anak mereka.
Ada juga yang mempertahankan anak kononnya terjebak sebab pengaruh kawan-kawan. Ada juga yang rela menyembunyi perbuatan depan mata dengan alasan untuk menjaga aib keluarga.
Sekarang ini terdapat banyak saluran yang boleh digunakan untuk melaporkan kes berkaitan penagihan pengedaran dan pemulihan dadah.
Agensi terbabit mempunyai kaedah tertentu dan strategi tersendiri dalam mengawal dan memulihkan penagih dadah di negara ini. Jangan ada kompromi, nyawa lebih penting! -KOSMO! ONLINE
















