fbpx

Hasil iklan organisasi media disentuh dalam RUU Majlis Media Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan hasil pengiklanan kepada organisasi media antara perkara yang bakal disentuh menerusi Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia yang dijangka digubal pada tahun hadapan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu tersebut penting untuk diperincikan dan diberi penekanan berikutan hasil daripada iklan hanya dibayar kepada syarikat penyedia platform media sosial dan bukannya kepada organisasi media.

“Justeru, saya lihat perlu ada keseimbangan, supaya ada sedikit pulangan kepada syarikat media, (perkara) ini masih dalam perbincangan.

“Saya percaya semua pihak boleh dibawa ke meja rundingan supaya satu suasana yang kondusif dapat dilaksana dan direalisasikan,” katanya pada Majlis Perasmian ‘Transcending Disinformation: Towards Responsible Media Consumption’ anjuran Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD) di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian tersebut, Fahmi berkata, perbelanjaan pengiklanan ialah satu daripada cabaran serius dan terbesar dihadapi media tempatan.

Katanya, anggaran kerugian dihadapi pemilik organisasi media kira-kira RM2 bilion daripada jumlah RM4.5 bilion perbelanjaan iklan tahunan kepada tiga gergasi media sosial iaitu Meta, Google dan TikTok.

Sehubungan itu, Fahmi berharap platform media sosial akan mengadakan banyak sesi libat urus dengan organisasi media untuk membantu mereka menggunakan platform media sosial dengan berkesan dan cekap.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu akan bertemu pengurusan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) hari ini bagi membincangkan mengenai pelantikan Ketua Pengarah J-KOM baharu.

Katanya, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut sama ada agensi berkenaan sudah ada pengganti Ketua Pengarah baharu yang dipilih ketika di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), memandangkan J-KOM baru sahaja dipindahkan ke Kementerian Komunikasi berkuat kuasa semalam.

“Sebelum ini, Perdana Menteri pernah sebut ada pengganti telah dikenal pasti, namun dari segi pentadbirannya sama ada telah berkuat kuasa atau belum itu akan dipastikan dalam perjumpaan hari ini.

“Tiada tarikh akhir tapi pelantikan ini akan dibuat sesegera mungkin kerana ia penting, berikan saya sedikit masa,” katanya

Mengenai pelantikan Ketua Pengarah J-KOM baharu adalah dalam kalangan penjawat awam atau lantikan luar, Fahmi memaklumkan, beliau belum mengetahuinya selain akan dibincangkan sewaktu perjumpaan hari ini.

November lalu, media melaporkan Datuk Mohammad Agus Yusoff mengesahkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI