fbpx

Rompak wang hampir RM1 juta, beg LV: Pegawai SPRM didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fahmee (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen di hari ini atas pertuduhan merompak seorang ahli perniagaan warga China hampir RM1 juta di sebuah residensi mewah dua tahun lalu.

Bagaimanapun kedua- dua tertuduh iaitu Muhamad Haffiz Mohd. Radzi, 33, dan Mohd. Fahmee Mohamad Nor, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dihadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama telah melakukan rompak berkumpulan ke atas harta kepunyaan Kun Gao iaitu wang tunai RM952,690 mata wang Yuan 1225, satu bagasi warna silver dan satu beg jenama Louis Vuitton (LV) warna hitam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit residensi di Jalan Ampang di sini pukul 12 tengahari pada 10 Disember 2021.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara di Mahkamah Sesyen lain, seorang lagi tertuduh iaitu bekas pegawai agensi penguatkuasaan SPRM turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama. Tertuduh Azwan Asli, 38, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan
Hakim Siti Aminah Ghazali.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap kesemua tertuduh.

Bagaimanapun peguam Ravichandaran Selliah yang mewakili Muhamad Haffiz dan peguam R.Vikraman yang mewakili Mohd. Fahmee serta Azwan memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana kesemua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim Izralizam kemudian membenarkan ikat jamin RM12,000 masing-masing terhadap Muhamad Hafiz dan Mohd. Fahmee berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sementara Hakim Siti Aminah, tertuduh Azwan dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Februari tahun depan sebutan semula kes.

Pada 13 Disember 2021 media melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai SPRM yang ditahan polis selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan masing-masing direman tiga dan empat hari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ke atas pegawai agensi penguat kuasa dan seorang lagi individu bersabit satu kes jenayah membabitkan kerugian RM700,000.

Kemudian SPRM dalam kenyataan kemudian mengesahkan seorang pegawai suruhanjaya itu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah.

Suruhanjaya itu memberi kerjasama penuh untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada polis.

Pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI