fbpx

Majoriti kes Covid-19 bergejala ringan, tidak perlu rawatan hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Majoriti pesakit Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia ketika ini hanya mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, bagaimanapun, terdapat peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan secara global termasuk di beberapa negara jiran.

Katanya, di Malaysia, peningkatan kes itu seiring dengan trend yang berlaku setiap hujung tahun seperti dilaporkan di negara-negara lain.

“Pada Minggu Epidemiologi ke-49, sebanyak 12,757 kes telah dilaporkan berbanding 6,796 kes yang dilaporkan pada ME 48 iaitu dari 26 November 2023 hingga 2 Disember 2023.

“Secara keseluruhan, peratus kes kematian Covid-19 dari 25 Januari 2020 sehingga 9 Disember 2023 adalah 0.72 peratus.

“Daripada segi kapasiti hospital pula, jumlah kemasukan pesakit termasuk pesakit yang disyaki Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi penggunaan katil bukan kritikal meningkat kepada 1.4 peratus berbanding ME 48,” katanya di sini tadi.

Jelasnya, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) turut meningkat kepada 1.4 peratus dan peratusan pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) juga meningkat kepada 0.5 peratus.

“Walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19, namun secara keseluruhan keadaan semasa di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

“Pada ME 49/2023, sebanyak 26 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 21 kes Variant of Concern (VOC) dan lima kes Variant of Interest (VOI),” katanya.

Menurut beliau, sehingga kini, tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia.

“Varian yang masih menular di Malaysia adalah varian Omicron dengan subvarian XBB.1.16, XBB.1.5 dan EG.5.

“Varian ini, walaupun diketahui mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi, tetapi ianya tidak menyebabkan kes yang teruk,” tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, KKM juga menjangkakan akan berlaku peningkatan kes Covid-19 susulan pergerakan dan perjumpaan sanak saudara dan sahabat handai ketika sambutan Hari Krismas dan tahun baharu termasuk musim cuti sekolah bermula pada 16 Disember 2023.

Sehubungan dengan itu, KKM menggalakkan orang ramai untuk memakai pelitup muka sekiranya bergejala ketika aktiviti kunjung mengunjung bagi melindungi keluarga, jiran dan sahabat handai daripada mendapat jangkitan Covid-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI